Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Sepang: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan terus mencari peluang untuk meluaskan operasi di luar negara terutama melalui pengambil alihan operasi lapangan terbang.

Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali berkata, buat masa ini belum ada sebarang bidaan rasmi dilakukan namun, pihaknya giat menjalankan perbincangan dalam mencari peluang mengembangkan operasi di luar Malaysia.

“Pengambilalihan lapangan terbang Sabiha Gokcen, Istanbul (ISG) yang dilaksanakan tahun lalu membuktikan kami serius dalam usaha pengambil alihan lapangan terbang di luar negara.

“Malah, kami sedia mencari peluang terbaik memandangkan beberapa negara seperti Jepun dan India mula mencari jalan menswastakan operasi lapangan terbang,” katanya selepas pengumuman prestasi kewangan MAHB, semalam.

Menurutnya, meninjau peluang di luar negara adalah sebahagian daripada strategi MAHB untuk mencapai prestasi kewangan yang positif.

“Langkah pertama yang diambil adalah meluaskan operasi dalam terminal melalui penyediaan ruang komersial yang lebih banyak selain meluaskan operasi di luar terminal melalui kewujudan Gateway@KLIA2.

“Peluang menjalankan operasi di luar negara menjadi langkah ketiga untuk memastikan kelangsungan operasi MAHB,” katanya.

Disember lalu, MAHB mengumumkan pembelian baki 40 peratus pegangan dalam ISG pada harga RM1.18 bilion menjadikan pegangannya dalam entiti berkenaan sebanyak 100 peratus. ISG adalah satu daripada dua lapangan terbang antarabangsa di Istanbul dan menerima penumpang sebanyak 18.84 juta pada 2013.

Sementara itu, MAHB mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai sebanyak 136 peratus kepada RM720 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, berbanding RM305.6 juta pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 6:41 AM