PESERTA ditempatkan dalam kumpulan kecil.
PESERTA ditempatkan dalam kumpulan kecil.
Oleh Kusyi Hirdan

Kita semua tahu betapa pentingnya surah al-Fatihah iaitu surah pembuka dan permulaan al-Quran sebagai surah yang pertama. Surah yang diwahyukan di Makkah ini mempunyai tujuh ayat.

Surah al-Fatihah adalah ummul kitab dan menjadi rukun dalam solat. Tidak sah solat sekiranya bacaan al-Fatihah tidak sempurna. Itu asas yang perlu kita tahu betapa pentingnya membaca al-Fatihah dengan betul.

Sejak pada usia kecil lagi, kebanyakan kita sudah diperkenalkan oleh ibu bapa dengan surah ini. Kita disuruh menghafalnya. Surah al-Fatihah umpama sebati di dalam diri.

Namun begitu, dalam segala kepentingan dan dekatnya al-Fatihah dengan diri kita, ramai antara kita yang tidak sedar, begitu banyak kesilapan yang dilakukan dalam membaca surah itu walaupun surah ini rutin dibaca ketika solat sehari semalam sebanyak 17 kali.

Betulkah makhrajnya? Betulkah tajwidnya? Selama hidup kita, dari kecil sampai sudah berusia, kita membaca al-Fatihah dengan merasakan ia bacaan yang betul. Kita anggap ia betul kerana bagi kita, apalah susahnya membaca al-Fatihah. Bukankah ia sudah sebati?

Tanpa disedari kerana kurangnya ilmu di dada, bacaan al-Fatihah kita tidak sempurna.

Oleh kerana itu, kumpulan komuniti amal Superfrends mengadakan program Jom Memperkasa al-Fatihah dengan penduduk kampung yang terletak di tepi pantai, Kuala Sungai Baru, Melaka. Ia diadakan di Masjid al-Hasaniah dengan membabitkan kira-kira 60 peserta dewasa dari kampung sekitarnya bersama 12 fasilitator yang membantu memperbetulkan bacaan al-Fatihah.

“Kami merancang program ini kerana sedar betapa pentingnya al-Fatihah dan betapa kita sering melakukan kesalahan ketika membacanya. Bagi kami, mencari ilmu tidak terhenti walaupun sudah berusia,” kata pengasas Superfrends, Zulkeflee Haron.

Program dirancang teliti dengan semua pelajar dibahagikan kepada 12 kumpulan kecil. Untuk melancarkan majlis, sukarelawan membantu memantau perjalanan program.

“Merancang program yang membabitkan pelajar dewasa sebenarnya tidak mudah tetapi dengan kerjasama semua pihak, alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Semua orang teruja dan bersemangat hadir sejak awal pagi untuk bersama-sama memperbetulkan bacaan. Kami berharap semua yang hadir mendapat manfaatnya,” katanya.

Sebaik program bermula sekitar jam 9 pagi, ruang dalaman Masjid al-Hasaniah bergema dengan surah al-Fatihah yang dibaca oleh semua peserta program dalam kumpulan masing-masing. Hati rasa tersentuh kerana ayat itu sendiri yang menyentuh perasaan dan sanubari.

Peserta yang menyertai program berusia antara 45 hingga 82 tahun. Jelas sekali dalam menuntut ilmu, usia bukanlah halangan kerana yang penting ialah usaha dan kemahuan.

Bagi peserta, Norizam Suboh, 50, program sebegitu memang penting di hatinya dan ia sangat perlu.

“Dalam program ini kami ditunjukkan cara sebenar membaca al-Fatihah dan memperbetulkan bacaan kami. Hati saya bukan hanya tersentuh tetapi hiba kerana dapat menambah ilmu yang sangat berguna ini. Program sebegini juga mendekatkan masyarakat dengan masjid dan semoga ia dapat diadakan lagi,” katanya.

Kalijah Hassan, 65, juga gembira dapat membaca al-Fatihah sambil didengar oleh ustazahnya.

“Mula-mula ustazah memberi penerangan mengenai al-Fatihah. Penerangannya mudah difahami. Kemudian setiap kami membaca seorang demi seorang. Memang seronok apabila ustazah memperbetulkan bacaan kita,” katanya.

Bagi fasilitator Syafiq Fikri Nordin, kesalahan yang dilakukan kebanyakan kita ialah sebutan makhraj.

“Ada beberapa huruf yang perlu perincian dan penekanan. Banyak lagi huruf lain juga perlukan latihan,” katanya.

Menurut Syafiq, majoriti peserta dalam kumpulannya boleh membaca al-Quran dengan baik dan dia hanya memperbetulkan kesalahan minimum saja.

“Saya gembira melihat peserta walaupun sudah mencecah usia warga emas, sangat ingin belajar dan mahu memperbaiki mutu bacaan. Kalau diikutkan mereka mahu dapat lebih lagi ilmu daripada program ini, cuma masa yang diberi hanya sejam, jadi sangat pendek. Program sebegini wajar diadakan lagi dan cadangan saya selepas ini memberi fokus kepada surah Yasin pula,” katanya.

Fasilitator Muhammad Akmal Ismail pula berpendapat, program yang memberi tumpuan kepada al-Fatihah sangat elok diadakan.

“Program sebegini dapat memperbaiki dan mencantikkan lagi bacaan al-Fatihah supaya menepati tajwidnya, lebih-lebih lagi bacaan al-Fatihah adalah rukun qauli dalam solat. Sekiranya kita membaca al-Fatihah secara tidak tepat, salah baris atau tidak memenuhi hak-hak hurufnya, dibimbangi solat tidak sah,” katanya.

Walaupun penyertaan peserta daripada kalangan dewasa dan warga emas, bagi Muhammad Akmal, ia tidak pernah terlambat.

“Masih belum terlambat sekiranya sudah timbul kesedaran untuk mempelajari bacaan al-Fatihah. Dengan adanya kesedaran, keadaan kita akan lebih baik daripada sebelumnya. Teruskan istiqamah menuntut ilmu kerana ada jaminan mendapat keredaan Allah,” katanya.

Muhammad Akmal bersyukur kerana pelajar dewasa dan warga emas di dalam kumpulannya sangat terbuka menerima perkongsian ilmu daripadanya.

“Mereka bersungguh-sungguh membaca seperti yang saya tunjukkan. Alhamdulillah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 12:05 PM