Bintang muda Tottenham, Harry Kane nampaknya semakin menyerlah namun ia bukan satu janji yang pasti. Jika diimbas kembali, ramai penyerang Inggeris yang pada mulanya cemerlang tetapi menjunam tidak lama kemudiannya.

Danny Cadamarteri

Penyerang Everton itu mencuri perhatian dengan gol cantik ke atas Arsenal pada September 1997 dan mempamerkan gol lebih cantik dalam pertemuan Merseyside pada bulan berikutnya. Penyerang itu terus diberikan harapan namun gagal menjaringkan gol pada baki musim 1997/98. Selepas dipinjamkan ke Fulham, dia meninggalkan kelab itu pada 2002 dan tidak lagi beraksi di EPL.

Michael Bridges

Seperti juga Kane, Bridges berusia 21 tahun ketika mempamerkan bakat luar biasanya. Pemain muda itu datang dari Leeds pada musim panas 1999, menyerlah di Sunderland di bawah kendalian David O’Leary. Dia menjaringkan 19 gol pada musim 1999/2000 dan hampir me­nyertai skuad England. Malanganya, kecederaan membantutkan kariernya, gagal menjaringkan gol buat Leeds sebelum menamat­kan karier di Australia bersama Newcastle Jets tahun lalu.

Matt Jansen

Pada hujung 1990-an, Jansen dianggap antara permata berharga dalam bola sepak Inggeris. Cemerlang bersama Carlisle membawanya ke kancah EPL bersama Crystal Palace pada 1998 dengan harga £1 juta (RM5.44 juta) sebelum disambar Blackburn pada harga £4.1juta (RM22.3 juta) pada usia 21 tahun. Kecederaan membelenggunya di Ewood Park dan selepas meninggalkan Bolton pada 2006, dia bersara pada 2010 ketika mewakili kelab divisyen kelapan Chorley FC.

Francis Jeffers

Empat tahun yang cemerlang di Everton membawa Jeffers ke Arsenal dengan bayaran perpindahan £8 juta (RM43.5 juta) pada 2001, malah dianggap Arsene Wenger sebagai pemain licik di depan gawang. Malangnya, dia tidak menjadi di Highbury, memaksa­nya meninggalkan kelab itu tiga tahun kemudian, menyumbang lapan gol. Dia bersara pada 2013, selepas beraksi dengan lapan kelab dan menyumbang hanya 19 gol.

Michael Ricketts

Ricketts menyerlah pada separuh pertama musim 2001/02 apabila menjaringan 15 gol bersama Bolton sehingga pertengahan Januari. Pada usia 23 tahun, Ricketts dipanggil menyertai England dan diturunkan untuk menentang Belanda pada Februari 2002 tetapi dikeluarkan pada separuh masa kerana beraksi hambar. Dia tidak dapat beraksi mewakili negara dan gagal menjaringkan gol pada baki musim itu. Menamatkan karier pada 2010 ketika mewakili Tranmere.

Neil Mellor

Sewaktu Neil Mellor menjaringkan gol Piala Liga menentang Sheffield United pada Januari 2003, pengulas yang teruja berkata ‘memperkenalkan jentera gol terbaru Liverpool’. Mellor, kemudiannya diang­kat sebagai Robbie Fowler atau Michael Owen dan dicanang sebagai pemain utama Anfield tetapi ia tidak menjadi, meninggalkan Liverpool pada 2006. Bersara pada 2011 ketika berusia 28 tahun.

David Bentley

Jaringan ala Dennis Bergkamp ke atas Middlesbrough pada Januari 2004 membuatkan pe­nyokong setia Highbury kekaguman dan Bentley dilihat sebagai pengganti pemain Belanda itu. Dia bagaimanapun tidak diberi peluang me­nyarung jersi nombor 10 dan selepas dipinjamkan ke Norwich, menyertai Black­burn pada Ogos 2005. Pernah menyertai Spurs dengan bayaran perpindahan £15 juta (RM81.8 juta) pada Julai 1998. Dipinjamkan ke empat kelab selepas itu dan bersara tahun lalu.

James Vaughan

Seorang lagi penyerang ‘kelahiran’ Everton yang gagal menepati acuan Wayne Rooney. Vaughan menjadi penjaring termuda EPL pada April 2005 dengan jaringan ke atas Crystal Palace, tetapi kecederaan menghambatnya daripada menjadi pemain tetap Goodison Park. Kini beraksi bersama Huddersfield.

Andy Carroll

Sewaktu berusia 21 tahun, Carroll menjaring­kan 11 gol buat New­castle sebelum tahun baru musim 2010/11, membolehkannya menyertai England dan dibanding dengan Alan Shearer. Kenny Dalglish begitu kagum dengan pemain muda itu hingga membelanjakan £35 juta (RM190.8 juta) untuk membawa Carroll ke Liverpool pada Januari 2011. Pemain tinggi lampai itu gagal menyesuaikan diri dan menyertai West Ham sehingga kini.

Ravel Morrison

Sir Alex Ferguson berpendapat Morrison adalah pemain berusia 14 tahun terbaik yang pernah disaksikannya sebelum dibawa menyertai kelab itu. Begitupun beberapa masalah menyebabkan United menjual pemain itu ke West Ham, namun terus beraksi hambar hingga dipinjamkan ke QPR and Cardiff. Pemain berusia 22 tahun itu kini tidak mempunyai sebarang kelab dan dikatakan bakal menyertai Lazio musim panas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 11:07 AM