Meerut: Seorang wanita dipukul dan dimalukan hanya kerana tidak mahu menjadi ibu tumpang majikannya.

Wanita itu, pelajar jurusan undang-undang juga bekerja separuh masa sebagai pengurus di sebuah rumah tamu di Meerut, mendakwa majikannya memaksa dia melahirkan anak untuknya.

“Sejak saya bekerja di rumah tamu itu, majikan saya sering memaksa untuk menjadi ibu tumpang dan apabila enggan, saya dipukul. Bukan saja dia malah tiga lagi termasuk seorang jururawat dan pengurus hospital juga membelasah saya,” katanya.

Berikutan kejadian itu, wanita berkenaan membuat laporan polis, dan empat suspek, termasuk majikannya kini ditahan untuk siasatan.

Kata wanita itu, sebelum ini, majikannya itu pernah melakukan beberapa serangan seksual ke atasnya.

Sehubungan itu, penguasa kanan polis di Meerut mengarahkan pegawainya untuk melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian di balai, tempat wanita itu melaporkan kes terbabit.

Wanita itu tinggal di rumah sewa di Shastrinagar dan bekerja sebagai pengurus di rumah tamu itu bagi menampung perbelanjaannya dalam jurusan undang-undang di sebuah kolej di Meerut.

Sementara itu, ketua polis daerah, Subhash Singh Baghel berkata, semua tuduhan sedang disiasat dan sesiapa yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan undang-undang. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 9:58 AM