MANGSA terperangkap dalam penyedut pasir dan dipercayai terhidu gas beracun. FOTO ihsan bomba
MANGSA terperangkap dalam penyedut pasir dan dipercayai terhidu gas beracun. FOTO ihsan bomba
Oleh: Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Mukah: Tiga pekerja tongkang warga asing maut dipercayai akibat terhidu gas beracun ketika menjalankan kerja penyelenggaran dalam penyedut pasir di dek tongkang yang berlabuh di Kuala Balingian di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, mangsa Mohd Abd Kallam, 43 (warga Bangladesh); Rama Krishnan, 20, dan Selvi Nikihil, 25, dari India masuk dalam dek tongkang berkenaan untuk menyelenggarakan penyedut pasir sebelum dipercayai terhidu gas beracun.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufiyan Borhan berkata, ketiga-tiga mangsa terperangkap dalam penyedut pasir dan dipercayai terhidu gas beracun karbon monoksida atau ammonia sebelum pengsan dan lemas.

"Mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada 3.40 petang dan operasi tamat sepenuhnya pada 3.45 petang," katanya ketika dihubungi.

Kes diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk tindakan selanjutnya dan ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Mukah untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 7:39 PM