HONDA CB650F.
HONDA CB650F.
HONDA CBR650F.
HONDA CBR650F.
Oleh Erywan Norshal

Bagi yang mengidam memiliki jentera dua roda berkuasa tinggi, ada dua pilihan baru boleh difikirkan dan mungkin tersenarai dalam fikiran iaitu sama ada Honda CB650F atau CBR650F.

Kedua-dua varian itu memiliki karakter dengan gaya tunggangan berbeza, yang mana CBR650F dalam kategori 'supersport' manakala 'naked' bagi varian CB650F.

Walaupun memiliki mekanikal dan struktur yang hampir sama, kedua-duanya menawarkan pilihan peribadi berasaskan cita rasa setiap penunggangnya untuk keseronokan dengan prestasi premium.

Dalam keluarga 650F itu, ia adalah jentera terbaru dihasilkan pasukan jurutera muda Honda dengan berorientasikan elemen sport.

Pusat graviti rendah, reka bentuk langsing dan pemegang tinggi membuatkan keluarga 650F mudah dikawal serta memberi keyakinan ketika menunggangnya.

Konsep reka bentuk berciri 'masa depan' memberi penampilan anggun dan agresif de­ngan kombinasi kedua-dua perumah lampu belakang serta depan menggunakan teknologi LED.

Gaya posisinya turut menawarkan keselesaan kepada penunggang dan pemboncengnya, selain tempat duduk dengan ketinggian 0.81 meter memudahkan kaki mencapai permukaan jalan.

Meter kelajuan memaparkan skrin digital berkembar yang besar. Di sebelah kiri adalah bacaan putaran perminit (rpm) dan kelajuan, manakala kanan membabitkan penyukat bahan api, jam, odometer serta lampu amaran.

Ia juga dilengkapi ciri keselamatan apabila kunci menggunakan konsep 'gelombang' serta tahan lasak bagi mengelak kecurian.

Kedua-dua model itu berkongsi rangkaian kuasa sama apabila menggunakan enjin 649cc empat silinder DOHC baru dan direka untuk menyampaikan tork tinggi pada rpm rendah serta sederhana.

Kuasa maksimumnya mencecah 64 Kw pada 11,000 rpm dengan tork puncak 63 Nm pada 8,000 rpm serta menyalurkan bunyi memberangsangkan selepas menggunakan ekzos 4-2-1.

Bagi CB650F, ia didatangkan dalam pilihan warna Perak Pedang Metalik, Putih Mutiara Metaloid dan Putih Mutiara Himalaya serta dijual pada harga RM39,999.

Sementara itu, CBR650F ditawarkan dengan warna Perak Pedang Metalik, Putih Mutiara Metaloid dan Merah Milenium yang dijual pada RM41,999.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:09 AM