Kuala Lumpur: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April ini dijangka tidak memberi impak besar kepada harga produk dan perkhidmatan dalam industri penjagaan kesihatan negara meskipun industri itu dilihat bakal mengalami peningkatan kira-kira lima peratus pada tahun ini.

Naib Presiden Kanan, Penjagaan Kesihatan Frost & Sullivan Asia Pasifik Rhenu Bhuller berkata, terdapat beberapa faktor lain yang turut menyumbang kepada kenaikan itu termasuk kebergantungan kepada peralatan perubatan import, kos sara hidup tinggi dan peningkatan permintaan untuk mendapat perkhidmatan penjagaan kesihatan lebih baik dalam kalangan rakyat.

“Cukai ini dijangka membuatkan rakyat menggunakan perkhidmatan kesihatan awam, namun trend terbabit tidak kekal lama dan mereka akan kembali kepada perkhidmatan kesihatan swasta dalam tempoh enam bulan akan datang apabila melihat situasi terkini pada pasca GST,” katanya pada sidang media Unjuran Penjagaan Kesihatan Asia Pasifik 2015 dan Trend Mega Penjagaan Kesihatan Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengukuhkan kedudukan negara selaku pengilang bagi peralatan perubatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada peralatan import dan impak kenaikan harga produk dan perkhidmatan dalam industri penjagaan kesihatan untuk tahun ini.

“Mereka juga perlu meningkatkan keyakinan dalam kalangan orang ramai dan hospital terhadap peralatan perubatan dari Malaysia kerana Malaysia memiliki industri pembuatan kukuh dan memiliki jumlah sumbangan yang dominan dalam pasaran di kawasan serantau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 8:39 AM