POLIS membuat serbuan di rumah di Setapak susulan laporan doktor wanita yang menjadi mangsa.
POLIS membuat serbuan di rumah di Setapak susulan laporan doktor wanita yang menjadi mangsa.
Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Seorang lelaki Nigeria dan tiga teman wanitanya warga asing dipercayai sindiket penipuan 'Love Scam' ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju dalam serbuan di rumah di Setapak, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, serbuan 9.15 malam itu menahan suspek yang berusia antara 33 hingga 39 tahun.

"Suspek wanita yang ditahan masing-masing adalah warganegara Thailand, Vietnam dan Filipina," katanya.

Katanya, serbuan itu adalah susulan daripada laporan polis yang dibuat doktor wanita berusia 45 tahun yang menjadi mangsa sindiket berkenaan hingga kerugian sebanyak RM65,000.

"Mangsa yang juga ibu tunggal mengenali suspek lelaki Nigeria itu sejak Oktober 2013 sebelum terpedaya dengan ayat-ayat cinta sehingga sanggup menyerahkan wang tunai sebanyak itu," katanya.

Katanya, sejak April tahun lalu pihaknya sudah menerima 12 laporan polis berhubung kes 'Love Scam' yang membabitkan kerugian lebih RM500,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 5:39 PM