Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Mayat seorang lelaki warga Indonesia yang terjun dari jambatan Sungai Muar, di Pekan Rompin, ditemui tersangkut pada akar pokok di sungai itu tengah malam tadi.

Sebelum kejadian, iaitu pada 7.15 malam, seorang pemancing melihat mangsa dikenali sebagai Mochamad Mardjono, 40-an, itu memanjat jambatan sebelum terjun ke sungai itu dalam keadaan tidak berbaju dan memakai seluar panjang berwarna hitam serta topi keledar.

Menurut Penguasa Bomba Zon 3 dari Balai Bomba dan Penyelamat Jempol Zulkifli Che Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.53 malam dan bergegas ke lokasi untuk mencari dan menyelamat mangsa.

Katanya usaha mencari dan menyelamat membabitkan anggota bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBDP) Bahau, BBDP Gemas, BBDP Seri Jempol dan BBDP Teluk Kemang, Port Dickson serta dibantu penduduk kampung.

"Mayat mangsa ditemui tersangkut pada akar pokok kira-kira satu kilometer dari tempat dia terjun dalam keadaan memakai topi keledar pada 12.05 tengah malam.

"Usaha membawa naik mayat mangsa selesai pada 3.05 pagi dan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya ditemui di lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 1:19 PM