FIZI harap terus menjadi penyampai radio berjaya.
FIZI harap terus menjadi penyampai radio berjaya.
Syanty Octavia Amry

Tidak pernah merasa terpinggir, penyampai radio Hot FM Fizie, 27, mengakui selesa bergandingan dengan penyampai senior seperti Fara Fauzana dan AG.

Menggantikan tempat Faizal Ismail, Fizie atau nama sebenarnya Mohamad Hafizie Roslan bergandingan dengan mereka melalui segmen AM Krew setiap Isnin hingga Jumaat jam 6 hingga 10 pagi.

Hampir setahun bersama mereka, banyak pengalaman yang dilalui, namun Fizie menganggap ia pengalaman untuknya melalui kerja sebagai penyampai radio.

"Mungkin sesetengah penyampai baru merasa kekok bila digandingkan dengan dua penyampai senior. Pastinya mereka lebih memilih mengendalikan program sendiri atau bergandingan hanya dengan dua orang.

"Saya bersyukur tidak melalui keadaan itu, malah rasa sangat selesa kerana Fara dan AG banyak membantu memberi tunjuk ajar.

"Sebaliknya, walaupun sudah lama dalam AM Krew, mereka tetap memberi kerjasama untuk memastikan segmen kami berjaya menghiburkan pendengar," katanya.

Pun begitu, Fizi mengakui menghiburkan pendengar bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi setiap mereka sudah diberikan tugas dan kadang kala dia perlu kelihatan 'bangang' untuk membuatkan pendengar terhibur.

"Orang melihat kerja penyampai radio macam senang. Cakap-cakap orang sudah suka, tetapi jika apa yang kita cakap itu tidak kena atau kurang menyenangkan boleh membuatkan orang jadi meluat.

"Satu cabaran yang sangat besar apabila perlu menggantikan tempat orang seperti Faizal yang sudah ada pengikut sendiri. Pada dua bulan pertama mengendalikan program itu saya mendapat kritikan yang teruk, namun saya ambil ia sebagai pandangan yang positif untuk memperbaiki mutu penyampaian saya.

"Jika ada kutukan yang terlampau saya anggap mereka kurang cerdik dan abaikan saja mana yang tidak perlu. Walaupun boleh dikatakan hampir setiap hari saya menerima komen negatif pada laman Facebook saya, saya anggap ia semua dugaan dalam melalui kerja yang saya lakukan," katanya.

Berkongsi pengalaman apa yang membuatkan dia begitu mencintai bidang penyampai radio, bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, segala-galanya bermula ketika kecil apabila pergi ke pasar raya dia suka duduk di bahagian DJ.

"Apabila emak sibuk membeli barang-barang, saya pula lebih suka melepak bersama DJ yang bertugas ketika itu.

"Mendengar celotehnya sambil menghiburkan orang ramai dengan lagu-lagu yang ada membuatkan saya mula rasa semangat untuk bergelar seorang penyampai radio.

"Di zaman itu pula, Ismahalil Hamzah salah seorang penyampai radio yang sangat popular di mana ketika itu dia mengendalikan pogram di radio THR.

"Setiap kali mendengar dia ke udara menjadi inspirasi untuk saya mencapai impian itu. Alhamdulillah semangat dan usaha yang dilakukan saya berjaya bergelar penyampai radio sejak 2005 di Manis FM yang ketika itu beroperasi di Kelantan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 5:02 AM