TEMPAYAN lama turut terjemahkan keindahan semula jadinya.
TEMPAYAN lama turut terjemahkan keindahan semula jadinya.
PERSEKITARAN segar sepanjang waktu.
PERSEKITARAN segar sepanjang waktu.
INDAHNYA suasana di inap desa ini.
INDAHNYA suasana di inap desa ini.
Oleh Hartini Mohd Nawi


RENYAI hujan pagi tidak sedikit pun mengurangkan paparan panorama damai yang berada di depan mata penulis.

Suasana bertambah segar dalam dingin pagi itu apabila hujan mula berhenti bagaikan berada di kampung sendiri.

Sekilas itu landskapnya tampil dengan aura hijau dan sarat elemen tanaman serta hiasan yang benar-benar memukau pandangan.

Keindahan semula jadi itulah yang meletakkan Villa Rania Homestay ini berada pada kelasnya tersendiri.

Pemiliknya Razidan Abd Rashid, 39, ketawa kecil apabila penulis memuji latar landskap yang mewarnai persekitaran inap desa itu.

“Segalanya untuk dikongsikan dengan tetamu dan mengembalikan gambaran suasana desa yang menjanjikan ketenangan sepanjang waktu.

“Rasai pengalaman penuh privasi sebaik me­nginap di sini apatah lagi membuatkan anda lebih menghargai keindahan alam,” katanya yang me­ngusahakan inap desa itu sejak penghujung 2011.

Razidan yang sudah lama berkecimpung dalam dunia arkitektur dan landskap ini dilihat menzahirkan kepakarannya pada Villa Rania Homestay.

Elemen landskap lembut dan kejur yang terletak di bahagian utama laluan masuk itu menjadi sapaan pertama buat tetamu.

Siapa yang tidak teruja sebaik memandang sebuah basikal tua diletakkan bersama deretan pepohon hijau.

Di sebelahnya pula tempayan lama berisi dekorasi batang buluh sudah cukup menyingkap seribu satu persepsi nilai tradisi.

Laluan kiri yang diubah suai dengan papan utuh membawa anda seolah-olah melangkah merentasi sebuah sungai yang masih terpulihara ekosistemnya.

Nyata, binaan kolam di bawah laluan itu memberi peluang kepada tetamu untuk mencuri pandang ikan yang galak berenang.

Di kiri dan kanan laluan diindahkan dengan suasana hijau tanaman hingga membuatkan suasana begitu segar dan nyaman.

“Memang binaan landskap hijau yang diselang-seli dengan tanaman herba ini dirancang rapi supaya tetamu turut sama mempelajari sesuatu.

“Lebih mudah, setiap pokok herba dilengkapi dengan info ringkas termasuk nama saintifik dan kegunaannya,” katanya.

Razidan berkata, kebanyakan elemen hiasan dan pelengkap landskap di Villa Rania Homestay itu berasaskan bahan terpakai.

Pagar kaca yang turut dibarisi pelbagai pepohon hijau termasuk heliconia asalnya barang terpakai.

Begitu juga dengan tanaman, kerana pengarah RDN Ventures Sdn Bhd ini gemar merawat pokok kurang sihat dan apabila kembali segar, ia menyerikan segenap ruang landskap.

Tidak hanya memberi tumpuan kepada tanaman hijau dan elemen landskap kejur semata-mata kerana panorama landskap­nya turut diserikan dengan kehadiran ruang privasi

di segenap sudut.

Bersantai di atas buaian dan bangku sambil melihat anak bermain dan mata terpukau dengan persekitaran segar itu pastinya menjadi kenangan manis untuk dikenang.

Bersebelahan pintu masuk Villa Rania Homestay, gabungan landskap lembut dan kejur nyata menggamit seribu rasa.

Reka letak tempayan lama yang dikatakan berusia lebih kurang 50 tahun itu bukan satu pandangan biasa.

Ditambah dengan juraian pokok pakis dan binaan kolam ikan di sebelahnya, anda dapat bayangkan indahnya suasana desa.

Nun di satu pelantar khusus, kehadiran ruang paling privasi yang sesuai dijadikan tempat berkumpul atau bersantai seisi keluarga diwujudkan.

“Ruang ini paling menjadi tumpuan khususnya tetamu yang mengadakan hari keluarga atau majlis perkahwinan dalam taman di sini.

“Apatah lagi kami turut me­nyediakan ruang berbeku untuk menzahirkan kemeriahan suasana pertemuan yang memahat memori paling indah itu,” katanya yang turut mendapat sokongan isteri, Nur Diana Omar, 36.

Bagi peminat inap desa pastinya sudah maklum bahawa lokasi untuk ke Villa Rania Homestay ini tidak perlu meredah perjalanan yang panjang.

Ini kerana ia hanya terletak berhampiran Cyberjaya dengan laluan akses mudah.

Justeru, alami suasana penginapan serba lengkap di Villa Rania Homestay di 64F, Jalan Meranti 5, Kampung Pulau Meranti, Puchong, Selangor.

Layari Facebook; villaraniahomestay atau

Instagram villaraniahomestay untuk sebarang

keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 5:23 AM