Amirul (kiri) pada majlis pelancaran.
Amirul (kiri) pada majlis pelancaran.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Maybank dengan kerjasama Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) memperkenalkan panggung wayang untuk golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan melalui sistem Penerangan Suara (Audio Described - AD).

Ketua Kumpulan Perbankan Global Maybank, Amirul Feisal Wan Zahir berkata, kemudahan berkenaan adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan Asia Tenggara.

“Inisiatif ini sebahagian daripada tangungjawab sosial korporat kakitangan Perbankan Global Maybank untuk menyumbang kepada komuniti ini.

“Ia rentetan daripada kerjasama yang dijalin sebelum ini dalam menghasilkan gambarajah timbul untuk kegunaan OKU penglihatan selain menghulurkan bantuan dalam menyediakan bahan yang siap ditaip dan perakam suara untuk pembelajaran secara pendengaran,” katanya selepas pelancaran yang diadakan di sini, semalam.

Melalui tayangan AD, penonton akan menikmati penerangan mengenai setiap paparan, gantian pakaian dan pergerakan badan di antara dialog atau lagu.

Perkhidmatan berkenaan tidak terhad kepada pelatih di MAB, sebaliknya dibuka kepada mana-mana individu atau persatuan berkaitan OKU penglihatan secara percuma.

Untuk permulaan, pihak MAB membuat tayangan sekali pada setiap bulan dengan cadangan tayangan filem Ender’s Game dan The Hunger Games, Catching Fire.

Menurutnya, pada awal 2014, MAB menyatakan hasrat untuk menubuhkan panggung wayang penerangan suara di Kompleks MAB kepada pihaknya bagi memberikan pengalaman sebenar menonton wayang kepada komunitinya.

“Kami terdorong dengan visi untuk menyediakan insan menghadapi masalah penglihatan dengan kemudahan seperti seorang yang normal, kami warga Maybank telah menganjurkan beberapa siri program mengumpul dana.

“Pada April 2014, karnival mini dianjurkan di Menara Maybank dan diikuti dengan Hari Bersama Insan Cacat Penglihatan pada September 2014 sempena Hari Tanggungjawab Korporat (CR) Global Maybank yang telah mengumpulkan sejumlah wang. Dengan menggabungkan dana sumbangan daripada Maybank, panggung wayang AD telah dibina di Dewan Serbaguna MAB khusus untuk insan menghadapi masalah penglihatan,” katanya.

Amirul berkata, kekurangan dari segi penglihatan bukan menafikan hak mereka untuk menikmati tayangan gambar yang didatangkan dengan ciri penerangan audio.

“Dengan kemudahan yang disediakan, mereka boleh membayangkan jalan cerita dengan mendengar daripada hati dan minda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:14 AM