MUHYIDDIN  menyampaikan ucapan pada pelancaran iGEM 2014 di Kuala Lumpur, semalam.
MUHYIDDIN menyampaikan ucapan pada pelancaran iGEM 2014 di Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) mengunjurkan sektor teknologi hijau negara mampu memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020 bersandarkan kerancakan pemain industrinya untuk membangunkan pelbagai projek serta pengenalan pelan induk teknologi hijau dijangka pada awal 2015.

Ketika ini, sektor teknologi hijau menyumbang satu peratus kepada KDNK bersamaan kira-kira RM5 bilion setahun dan nilai perniagaannya dijangka mencecah RM70 bilion menjelang 2030.

Menterinya, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata, KeTTHa menerusi agensinya, Malaysia Green Technology Corporation (Green Tech Malaysia) dalam proses meneliti beberapa aspek yang akan menjadi kandungan dalam pelan induk berkenaan.

Beliau berkata, antara intipati utama yang bakal diperkenalkan menerusi pelan induk itu membabitkan penambahan insentif kepada pemain industrinya memandangkan ketika ini peruntukan kerajaan dalam Bajet 2010 membabitkan RM3.5 bilion Skim Kewangan Teknologi Hijau sehingga 2015 mendapat sambutan daripada pemain industri.

"Kami juga sedang berunding dengan beberapa kementerian antaranya Kementerian Kewangan bagi menambah insentif bagi membolehkan lebih banyak pembangunan teknologi hijau dapat dilaksanakan dalam negara ini memandangkan dengan peruntukan sedia ada sudah memberi kesan positif kepada sektor berkenaan.

"Antara aspek lain yang akan menjadi perhatian dalam pelan induk itu ialah bagi membangunkan teknologi hijau untuk sektor bangunan, pengangkutan, tenaga dan air," katanya selepas majlis pelancaran Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau serta Produk Eko (iGEM) 2014 di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut merasmikan iGEM 2014 membabitkan 200 pemamer dari 14 negara yang menyediakan perkhidmatan dan produk teknologi hijau.

iGEM 2014 yang dianjurkan kali kelima berlangsung dari 15 hingga semalam dan dijangka dapat menjana RM1.2 bilion transaksi perniagaan dalam tempoh dua hari itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Oktober 2014 @ 5:03 AM