PENDERMAAN organ beri kehidupan kedua kepada pesakit lain.
PENDERMAAN organ beri kehidupan kedua kepada pesakit lain.
ORGAN akan dihantar dengan kapal terbang untuk pesakit yang tinggal jauh.
ORGAN akan dihantar dengan kapal terbang untuk pesakit yang tinggal jauh.
DRUET berbual dengan jururawat sebelum menjalani pembedahan transplan buah pinggang.
DRUET berbual dengan jururawat sebelum menjalani pembedahan transplan buah pinggang.
SISTEM pendermaan dan transplan organ berpusat melancarkan proses pendermaan organ di Sepanyol.
SISTEM pendermaan dan transplan organ berpusat melancarkan proses pendermaan organ di Sepanyol.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Juan Benito Druet baru tahu hidupnya akan berubah selepas ini. Dalam tempoh beberapa jam, dia diberitahu bakal menerima buah pinggang sihat melalui sistem pendermaan organ yang meletakkan Sepanyol di tangga pertama dunia dalam transplan atau pemindahan organ sejak 25 tahun lalu.

"Saya tidak tahu apa yang akan terjadi, tetapi perlu ambil peluang ini," kata Druet, 63, yang ditemui ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital di La Paz, Madrid.

Kakitangan hospital juga cuba menenangkan dan meyakinkannya dengan memberitahu pembedahan pemindahan organ dilakukan setiap hari di Sepanyol.

Menurut data Organisasi Transplan Nasional (ONT) kementerian kesihatannya, tahun lalu doktor di negara itu menjalankan 4,818 pembedahan transplan membabitkan 2,994 transplan buah pinggang.

Ini bermakna tahun lalu di Sepanyol ada 43.4 penderma organ bagi setiap juta penduduk, satu rekod dunia yang mencatatkan peningkatan berbanding 40.2 penderma pada 2015.

Jika dibuat perbandingan, pada 2015, Amerika Syarikat cuma ada 28.2 penderma bagi setiap sejuta penduduk, Perancis (28.1 penderma) dan Jerman (10.9 penderma), menurut laporan Majlis Eropah.

“Ini berita yang lebih baik berbanding memenangi loteri,” kata isteri Druet, Jeronima, 60, yang duduk di sebelah suaminya dan turut ditemani dua anak mereka.

Jeronima sudah memasang impian untuk bercuti di atas kapal pelayaran bersama suaminya, sesuatu yang tidak mungkin dapat dilakukan dulu kerana Druet ‘terikat’ dengan mesin dialisis buah pinggang seberat 15 kilogram. Dia perlu menjalani dialisis setiap hari untuk menapis dan membersihkan darahnya.

Memindahkan kehidupan

Pembedahan transplan itu mengambil masa empat setengah jam. Pakar bedah membuat insisi (membuat hirisan sepanjang 15 sentimeter atau enam inci) pada abdomen Druet untuk memindahkan buah pinggang sihat yang diambil malam sebelumnya daripada penderma wanita yang meninggal dunia.

“Apabila berat badan penerima transplan mula meningkat, kesihatan mereka juga akan bertambah baik. Pembedahan tranplan ini seolah-olah ‘memindahkan’ kehidupan,” kata pengasas ONT Rafael Matesanz kepada wartawan AFP.

Matesanz memantau penguatkuasaan sistem pendermaan dan transplan organ berpusat bagi memastikan ia diuruskan dengan baik. Kaedah ini ditiru dan diamalkan di Portugal dan Croatia, malah memberi inspirasi ke seluruh Eropah.

Setiap hospital di Sepanyol kini mempunyai koordinator transplan, biasanya terdiri daripada doktor atau jururawat yang mengkhusus dalam rawatan penjagaan rapi. Mereka ditugaskan mengenal pasti pesakit yang berisiko mengalami serangan jantung atau kematian otak.

Dalam kedua-dua keadaan, buah pinggang, hati, paru-paru, pankreas dan kadangkala jantung masih boleh digunakan dan dipindahkan kepada pesakit lain.

Pendermaan organ akan dilaporkan segera ke ONT dan pegawai di unit ini pula bertanggungjawab mencari padanan terbaik daripada senarai menunggu organ. Jika pesakit berada terlalu jauh, organ akan dimasukkan ke dalam bekas penyejuk dan dihantar menggunakan kapal terbang. Sebagai langkah keselamatan, bekas penyejuk yang mengandungi organ ini akan diletakkan di kokpit bersama juruterbang.

Di bawah sistem penjagaan kesihatan Sepanyol, pembedahan pemindahan organ ini dilakukan secara percuma. Bagaimanapun, maklumat penderma dirahsiakan dan rawatan ini hanya ditawarkan kepada penduduk negara itu bagi mengelak berlaku penyeludupan organ.

Rahsia kejayaan

“Apa yang membezakan pendermaan organ di Sepanyol ini adalah sistem organisasinya. Kuncinya terletak pada rangkaian kerja berpusat,” kata Marie-Charlotte Bouesseau dari Jabatan Etika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Di seluruh dunia, hanya 10 peratus daripada keseluruhan pesakit dalam senarai menunggu menerima organ yang didermakan. Ini bermakna 90 peratus lagi akan meninggal dunia ketika menunggu kemunculan penderma organ,” sambungnya.

Keadaan Sepanyol agak berbeza. Pada 2016, hanya empat ke enam peratus pesakit meninggal dunia ketika menunggu organ penting seperti hati, jantung atau paru-paru.

Ramon Garcia Castillo, 85, bekas juruteknik televisyen, menjalani dialisis selama 13 bulan sebelum menerima buah pinggang pada 2010.

Jika dulu, dia terpaksa ke hospital tiga kali seminggu dan ‘terikat’ dengan mesin dialisis selama tiga setengah jam bagi setiap sesi.

“Transplan buah pinggang mengembalikan semula kehidupan saya,” kata Castillo, yang kini hanya perlu mengambil ubat (pil) bagi memastikan badannya tidak menolak buah pinggang baru itu.

“Ada satu lagi rahsia kepada kejayaan sistem pendermaan organ di Sepanyol ini iaitu latihan dan komunikasi,” kata Matesanz.

Sejak ia ditubuhkan pada 1989, ONT sudah melatih lebih 18,000 koordinator transplan yang akan memberitahu berita kematian seseorang kepada keluarganya dan dengan berhemah menyarankan keluarga berkenaan untuk bersetuju mendermakan organ si mati.

Undang-undang Sepanyol menganggap seseorang itu bersetuju untuk mendermakan organnya apabila mati kecuali mereka menegaskan tidak mahu berbuat demikian. Ahli keluarga akan segera diberitahu mengenai perkara ini untuk mendapatkan kebenaran mereka.

“Anda perlu ada empati, sensitiviti dan rasa hormat kepada penderma dan keluarga mereka,” kata koordinator transplan di hospital La Paz, Belen Estebanez.

Tugas koordinator transplan ini digambarkan dengan baik oleh pengarah filem, Pedro Almodovar menerusi filemnya, All About My Mother yang memenangi anugerah Oscar pada 1999.

Untuk filem itu, Almodovar mendapatkan nasihat dan panduan daripada ONT.

“Jika ada keraguan, kami akan tanya keluarga mengenai si mati, adakah dia seorang yang pemurah. Dari situlah kami akan cuba mengajak mereka mempertimbangkan mengenai pendermaan organ,” kata seorang lagi koordinator transplan, Damiana Gurria.

“Pendermaan organ ini akan menenangkan banyak keluarga apabila mengetahui organ orang kesayangan mereka akan terus hidup dalam badan insan lain. Penerima pula akan berterima kasih sepanjang hayat mereka atas sumbangan itu walaupun tidak tahu siapa pendermanya,” jelasnya.

Castillo berkata, sejak menerima buah pinggang baru, dia kini mengambil dua liter air sehari dan mengamalkan diet seimbang.

“Saya perlu menjaga buah pinggang yang diberikan kepada saya ini sebaik mungkin. Saya perlu mensyukuri pemberian ini dengan mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 11:11 AM