Rudy Imran Shamsudin


Bagi memastikan penonton setia memperoleh kelebihan terutama mereka yang melanggan perkhidmatan penstriman terbesar tempatan, Tonton merancang menghasilkan beberapa program dan disiarkan secara eksklusif.

Keistimewaan itu diberikan kepada mereka yang melanggan Tonton VIP yang mula diwujudkan setahun lalu.

Pengarah Tonton dan Perlesenan, Pembarangan, Airin Zainul berkata, banyak program baru dan menarik sudah dirangka dan bakal ditayangkan khas buat pelanggan Tonton VIP.

Katanya, sebelum ini pelbagai program khas disiarkan untuk pelanggan Tonton VIP. Malah beberapa drama disiarkan secara eksklusif di mana mereka yang melanggan boleh menyaksikan enam bulan lebih awal beberapa drama bersiri menarik sebelum ditayangkan di TV3 mahupun TV9.

Ditemui di malam konsert Jom Tonton bagi meraikan ulang tahun pertama penubuhan Tonton VIP di The Curve minggu lalu, kata Airin sekarang dua judul drama disiarkan secara eksklusif iaitu Raisha dibintangi pelakon popular Diana Danielle digandingkan dengan pelakon baru, Hafidz Roshdi.

Satu lagi drama bersiri yang kini disiarkan ialah Jojie Gigil menampilkan pelakon baru yang sedang mencipta nama, Elvina Mohammad dan Ben Amir.

Tidak terhad kepada drama, Tonton VIP juga merangka beberapa program menarik khas untuk perkhidmatan penstriman.

Kata Airin, pihaknya sudah melaksanakan pelbagai program khas seperti majlis perkahwinan Mia Ahmad dan pemain bola sepak, Izham Tarmizi khusus untuk penonton Tonton VIP.

“Sekarang kami juga membangunkan satu program khas menarik menampilkan Jinny Boy yang sebelum ini mempunyai program sendiri di laman sosial.

“Bagaimanapun rancangan dihasilkan ini khusus untuk penonton Tonton VIP dan berbeza dengan apa yang pernah dilakukan Jinny di laman sosial miliknya,” katanya.

Paling menarik apabila Tonton merancang menghasilkan drama bersiri yang diangkat dari filem pecah panggung, J Revolusi.

Jelas Airin, perancangan menghasilkan drama bersiri J Revolusi dibuat sebelum filemnya dihasilkan lagi.

“Kita mahu menjadikan J Revolusi sebagai satu jenama. Sebelum ini J Revolusi sudah dihasilkan dalam aplikasi permainan video,” katanya.

Filem J Revolusi dengan kutipan RM7 juta sepanjang hampir sebulan ditayangkan di pawagam, membariskan pelakon popular Zul Ariffin, Fazura, Farid Kamil dan Izara Aishah.

Untuk drama bersiri J Revolusi, ia menampilkan cerita berbeza dan watak akan ada perubahan. Pihak Tonton akan memikirkan pelakon sesuai membawakan watak drama bersiri itu.

Menceritakan perkembangan Tonton sepanjang enam tahun sebagai perkhidmatan penstriman pertama ditubuhkan, kata Airin, cabaran didepani perkhidmatan penstriman milik Media Prima itu apabila harus mengekalkan jumlah 6.8 juta pengguna untuk kekal bersama mereka sebaik bayaran minimum dikenakan bagi yang mahu menonton program TV secara eksklusif.

“Memandangkan Tonton yang pertama menyediakan perkhidmatan seperti ini, sudah tentu pelanggan sedia ada berasa keberatan.

“Bagaimanapun apabila ia menjadi budaya dengan kemunculan beberapa perkhidmatan penstriman dari luar membuatkan kebanyakannya sudah memahaminya. Lebih-lebih lagi mereka mendapat kelebihan apabila dapat menonton lebih awal beberapa program menarik sebelum ia disiarkan di kaca TV,” katanya.

Sepanjang konsert Jom Tonton berlangsung, kira-kira 5,000 pengunjung membanjiri ruang legar The Curve bagi menyaksikan persembahan penyanyi popular dibariskan.

Pengunjung terdiri daripada pelanggan tetap Tonton VIP dihiburkan dengan persembahan penyanyi terkenal Azlan & The Typewriter, Ning Baizura, Bunkface, Sufian Suhaimi dan duta Tonton, Aida Jebat juga Redza Rosli.

Ia bermula jam 5 petang hingga 10 malam. Turut diadakan cabutan bertuah buat pelanggan setia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 5:29 AM