ARTIS ceburi dunia perniagaan kerana mahukan jaminan masa depan.
ARTIS ceburi dunia perniagaan kerana mahukan jaminan masa depan.
Najiy Jefri


Fenomena artis berniaga yang bermula sejak beberapa tahun lalu boleh dianggap sebagai seolah-olah satu kemestian.

Pastinya ia bertujuan menjana pendapatan tambahan kepada selebriti terbabit.

Bahkan, dek populariti yang dimiliki selebriti berniaga, secara tidak langsung membawa keuntungan berlipat kali ganda kepada mereka.

Minggu ini Cuit Sikit menemu bual tiga selebriti tanah air mengenai perkembangan positif terhadap kebanjiran selebriti yang menceburi dunia perniagaan.

Ziana Zain

“Sebagai artis, kita perlu sentiasa membuat persediaan untuk masa depan, jadi tidak salah jika memikirkan cabang baru untuk diceburi.

Lagipun, saya tidak hanya bergantung semata-mata atas nama selebriti bagi menarik peminat mahupun pembeli. Memang tidak dinafikan, ada penggemar tudung suka membeli pelbagai jenama dikeluarkan artis tempatan namun segelintir pula lebih mengutamakan kualiti dan corak tanpa melihat siapa pemilik jenamanya.

Namun saya bersyukur apabila tudung di bawah jenama Ziana Zain’s World mendapat sambutan luar biasa daripada pembeli walaupun bukan mudah untuk menjalankan perniagaan.

Ini kerana banyak perkara dan prosedur yang perlu dibuat dan difikirkan sebelum produk terbabit dijual. Antara cabarannya adalah ialah pemilihan kain, kerja kerja produksi, promosi dan mencari stokis.

Walaupun agak terlewat menceburi bidang perniagaan iaitu selepas 26 tahun terbabit dalam dunia hiburan, saya begitu teruja untuk belajar dari bawah.”

Siti Nordiana

“Fenomena ramai artis berniaga bukan bermakna mereka kurang tawaran atau sebab diri sudah tidak laku lagi. Pendekatan untuk terbabit dalam perniagaan adalah jalan terbaik sebab mereka sudah mula fikirkan mengenai masa depan.

Saya juga menjalankan perniagan tudung di bawah jenama Nanarayyan Hijab by Siti Nordiana bagi memastikan kehidupan saya nanti stabil selain hadiah buat peminat.

Lagipun, kita tak tahu sampai bila masih boleh diterima peminat. Lebih membimbangkan keadaan mereka sekiranya artis terbabit sudah berkeluarga. Takkan nak harapkan duit persembahan semata-mata untuk menyara keluarga?

Jadi, menjadi seorang peniaga adalah langkah paling berkesan. Tambahan pula, sembilan persepuluh rezeki datang daripada bidang perniagaan.”

Aidit Noh

“Walaupun masih ‘hijau’ dalam dunia hiburan, saya sudah mula membabitkan diri dalam dunia perniagaan. Ini kerana kehadiran dalam industri seni ada matlamat. Saya mahu memperkenalkan jenama saya sebagai usaha mengukuhkan masa depan.

Jiwa saya lebih kepada perniagaan kerana lebih menjamin masa depan dan memberi kepuasan. Namun, pada masa sama saya masih memberi fokus terhadap kerjaya seni secara perlahan-lahan.

Alhamdulillah bisnes serum wajah, Curerative Heaven Drop dan pakaian baju Melayu bersama pereka fesyen Eddy Mohaizz mendapat sambutan hangat daripada peminat.

Saya harap perniagaan ini akan terus berjaya supaya boleh melangkah lebih jauh dan mengembangkan empayar ini dengan lebih luas.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2017 @ 4:19 AM