Ular sawa sepanjang enam meter dan berat 100 kilogram yang ditangkap di Kampung Bukit Hijau, dekat Kupang, malam semalam. FOTO ihsan APM
Ular sawa sepanjang enam meter dan berat 100 kilogram yang ditangkap di Kampung Bukit Hijau, dekat Kupang, malam semalam. FOTO ihsan APM
Safuri Kamarudin


Baling: Empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) diperlukan bagi menangkap ular sawa batik sepanjang enam meter dan berat 100 kilogram yang menelan kambing di Kampung Bukit Hijau, dekat Kupang, di sini, malam semalam.

Pegawai APM Baling, Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 10 malam dan tiba di rumah pengadu 20 minit kemudian.

Beliau berkata, ular sawa itu ditemui penduduk ketika menelan seekor kambing di dalam kandang.

"Ular sawa berkenaan dipercayai tidak dapat melarikan diri kerana kekenyangan selepas menelan kambing itu.

"Empat anggota APM mengambil masa 15 minit untuk menangkap ular sawa sepanjang enam meter dan berat 100 kilogram itu," katanya dihubungi di sini.

Beliau berkata, ular sawa itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Baling.

Mohd Faizol menasihatkan penduduk berhati-hati sekiranya terjumpa ular berbisa dan ular sawa supaya menghubungi APM di talian 04-4701626 atau kecemasan 999.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 10:51 PM