BARISAN model menunjukkan tujuh rona gincu ZarraB’Joy.
BARISAN model menunjukkan tujuh rona gincu ZarraB’Joy.

Bibir menawan datangnya daripada warna gincu menggoda. Ia bukan saja memberikan keyakinan kepada pemakai, malah menghadirkan kepuasan apabila sapuan pada ulas bibir memberikan ketahanan lebih lama serta kelihatan lebih lembap.

Bagi gadis dan wanita yang inginkan gincu bebas kilat dan menampakkan bibir lebih padat, gincu jenis matte pilihan tepat. Ini kerana gincu jenis ini bersifat menyerap cahaya dan memiliki kandungan minyak yang sangat sedikit sehingga ia tidak berkilau.

Ramai wanita kini semakin bijak memilih dan inginkan yang terbaik dalam solekan, Zarra Sinar Puteri memperkenalkan rangkaian kosmetik warna menerusi jenama ZarraB’Joy dengan memperkenalkan gincu jenis matte sebagai produk pertamanya.

Pengasasnya Datin Zamzarina Zambri mengakui dalam setiap penghasilan produk, kualiti sangat diutamakan agar ia setaraf produk antarabangsa, namun dijual pada harga mampu milik. Selepas kajian dijalankan, bahan utama untuk gincu ZarraB’Joy ini ialah mentega shea, minyak argan dan vitamin E.

“Wanita tanpa mengira usia semakin gemar gincu yang tidak berkilat, namun nampak cantik pada bibir. Inilah kelebihan yang kami tampilkan apabila gincu ZarraB’Joy tidak mudah melekat, tahan lebih lama sehingga pengguna tidak perlu mengoles berulang-kali,” katanya.

Hadir dalam tujuh rona berbeza, ia sesuai digayakan pada hari utama bermula Isnin sehingga Ahad. Untuk setiap gincu, warnanya mempunyai maksud berbeza yang disulami dengan kata-kata positif bertujuan meningkatkan keyakinan diri serta aura wanita apabila memakainya.

Pengacara program AM Live dan HLive yang juga anak kepada Zamzarina, Adriana Adnan dipilih sebagai Wajah ZarraB’ Joy bersesuaian dengan sifatnya yang lincah, petah dan gemar bergaya. Dia yang gemar bertukar rona gincu mengakui, pewarna bibir ini menjadi kemestian ketika merias wajah apatah lagi dia sering muncul di kaca televisyen.

“Hadir dalam rona segar bermula daripada warna gelap, seksi, menggoda, ceria, anggun dan menawan, setiap satu mudah dioles. Pembungkusan juga elegan apabila diletakkan dalam bekas cerah bagi memudahkan pelanggan melihat warna di dalamnya,” kata Adriana.

Antara rona yang diperkenalkan ialah Zesty Rose, Zenia Daisy, Zazzy Verbena, Zaftig Carnation, Zealous Dahlia, Zonal Peony dan Zappy Therapy. Dijual secara dalam talian pada harga RM47 pelanggan boleh mendapatkannya menerusi www.harmonymall.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 2:50 AM