Lembu termasuk dua lembu curi yang ditemui semula dan lori yang dirampas. FOTO ihsan PDRM
Lembu termasuk dua lembu curi yang ditemui semula dan lori yang dirampas. FOTO ihsan PDRM
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


Tampin: Lelaki dikenali sebagai Pak Hang bersama tiga rakan ditahan polis selepas dipercayai mencuri dua lembu di kandang di Felda Jelai 2, di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Hamazah Ab Razak berkata, Pak Hang yang berusia 31 tahun dan tiga rakannya berusia 23, 25 dan 32 tahun ditahan di pondok pengawal Felda terbabit selepas lori membawa lima lembu yang dinaiki mereka dilihat mencurigakan.

Katanya, pihaknya pada 4 petang semalam dimaklumkan, seorang penternak di Felda berkenaan kehilangan dua lembu.

"Sebaik penahanan itu, penternak berusia 60 tahun terbabit ke tempat kejadian dan mendapati dua lembu miliknya berada dalam lori.

"Mangsa mengecam haiwan itu miliknya kerana lembu terbabit memiliki tompok putih di dahi dan tanda hitam di kedua belah telinga," katanya.

Hamazah berkata, sehubungan itu Pak Hang dan tiga rakannya ditahan dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

"Berdasarkan siasatan lanjut, keempat-empat suspek membabitkan pencuri dan pembeli lembu serta dua lelaki yang diupah untuk menaikkan haiwan itu ke dalam lori.

"Dengan penahanan ini, kita (polis) berjaya menyelesaikan kes kecurian lembu dalam tempoh 24 jam," katanya.

Katanya, pihaknya turut merampas lori yang digunakan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 9:42 PM