Keadaan motosikal mangsa yang musnah sama sekali. (Gambar kecil) Dua mayat mangsa sebelum dibawa ke Hospital keningau. FOTO Mohd Adam Arinin
Keadaan motosikal mangsa yang musnah sama sekali. (Gambar kecil) Dua mayat mangsa sebelum dibawa ke Hospital keningau. FOTO Mohd Adam Arinin
Junaidi Ladjana


Keningau: Penunggang dan pembonceng maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di Kilometer (km) 28 Jalan Keningau - Sook, dekat sini, tengah tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, penunggang lelaki berusia 19 dan pembonceng berusia 25 tahun dipercayai maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Ahmad Jawila berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengatakan berlaku kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan treler.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati treler dari arah Keningau menuju ke Sook manakala motosikal dari arah bertentangan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, tiba-tiba motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan lalu masuk ke laluan treler sebelum bertembung," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Beliau berkata, akibat pertembungan itu, penunggang dan pembonceng maut di tempat kejadian manakala pemandu treler berusia 57 tahun tiada kecederaan.

"Kedua-dua mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Keningau untuk bedah siasat.

"Siasatan juga mendapati kedua-dua mangsa adalah rakan sekerja dan dalam perjalanan menuju ke bandar Keningau namun tidak dipastikan tujuan mereka," katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 8:49 PM