MARTINI Gimin.
MARTINI Gimin.
MELAWAT keluarga susah.
MELAWAT keluarga susah.
SESI menggunting rambut.
SESI menggunting rambut.
MARTINI menyampaikan bantuan kepada keluarga memerlukan.
MARTINI menyampaikan bantuan kepada keluarga memerlukan.
SEBAHAGIAN anggota MHO.
SEBAHAGIAN anggota MHO.
BERSAMA penghuni Baitul Kasih.
BERSAMA penghuni Baitul Kasih.
ANTARA aktiviti MHO.
ANTARA aktiviti MHO.
MEMBAWA anak yatim mendapatkan khidmat gunting rambut.
MEMBAWA anak yatim mendapatkan khidmat gunting rambut.
BERSAMA ahli Inner Wheel Club Mutiara Selangor melakukan aktiviti kebajikan.
BERSAMA ahli Inner Wheel Club Mutiara Selangor melakukan aktiviti kebajikan.
Intan Mas Ayu Shahimi


Jiwa wanita ini cukup sebati dengan minat membantu orang yang kesusahan. Tiada had umur, jantina, bangsa mahupun kerakyatan. Sesiapa saja yang layak akan dibantu atas dasar kemanusiaan.

Bertemu empat mata dengan Martini Gimin, 59, ternyata wanita berstatus ibu tunggal ini mempunyai visi jauh untuk memastikan hak kemanusiaan di negara ini terbela. Sekalipun terikat dengan tugas dan tanggungjawab sebagai Pegawai Perdagangan di Pejabat Kedutaan, Martini tidak pernah gagal memperuntukkan masa untuk kerja amal.

“Kita sendiri akan tahu sejauh mana kemampuan diri (membantu orang lain) sekiranya apa yang dilakukan hari ini benar-benar bersandarkan minat. Bagi saya, semuanya perlu terbit dari hati.

“Kalau kita memang suka membantu orang lain, apa saja usaha yang dibuat akan menemui jalan mudah. Malah, saya sendiri cukup seronok setiap kali merencana aktiviti amal untuk golongan sasar,” katanya.

Aktif selaku Pengerusi Inner Wheel Club Mutiara Selangor, Martini berkata, dia bersyukur kerana diberi kesempatan yang luas untuk mencurah bakti kepada masyarakat, tidak kira orang tempatan mahupun warga asing.

“Selalunya saya aktif sebagai sukarelawan selepas waktu pejabat dan pada hujung minggu. Pembahagian masa sebegini perlu untuk mengekalkan momentum diri dalam kerjaya dan aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

Terbaru, Martini berkata, pihaknya meringankan beban pengurusan Baitul Kasih di Kampung Kundang, Rawang dengan menyediakan kelengkapan harian untuk pusat kebajikan berkenaan.

“Mereka mempunyai 33 anak yatim dari usia bayi sehingga 17 tahun dan 11 ibu tunggal, termasuk seorang penghidap kanser. Sama seperti rumah kebajikan lain, Baitul Kasih juga menerima bantuan daripada pihak luar, namun tidak mencukupi.

“Jadi, kami mengambil keputusan menyediakan keperluan makanan, barang dapur, kelengkapan bayi, anak yatim dan peralatan sekolah. Sementara yang lelaki pula saya bawa ke salun milik anak, Walter Barbershop untuk mendapatkan khidmat gunting rambut secara percuma,” katanya tersenyum.

Menurut Martini, Inner Wheel Club Mutiara Selangor aktif menjalankan kerja amal lain termasuk mengumpul dana bantuan, membantu keluarga miskin Islam dan bukan Islam me­nyediakan keperluan untuk sambutan perayaan mereka serta sokongan kewangan kepada pelajar memerlukan. Amal bakti kelab itu disemai tanpa sekelumit prejudis terhadap penerima.

Bantu warga asing

Selain meringankan beban masyarakat tempatan, Martini berkata, dia juga aktif sebagai sukarelawan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (Malaysian International Humanitarian Organisation) atau MHO.

“Pertubuhan ini ditubuh­kan kira-kira setahun lalu oleh Setiausaha Agungnya, Hishamuddin Hashim. MHO berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk membela hak asasi manusia termasuk warga asing yang berada di Malaysia.

“Ia menyediakan Kad Kemanusiaan kepada semua warga asing tidak kira sama ada yang bekerja, belajar atau tinggal di negara ini. Pemohon kad ini perlulah memiliki dokumen perjalanan sah, pasport atau visa. Namun penggunaannya tertakluk kepada khidmat yang disediakan,” katanya.

Martini berkata, dia komited membantu tidak kira siapa kerana percaya semua individu mempunyai hak asasi yang wajar dipertahankan.

“MHO berperanan memastikan hak kebebasan diri, nyawa dan kesamarataan di sisi undang-undang terpelihara untuk semua, termasuk warga asing iaitu buruh atau pelancong. Jadi, mana-mana individu yang mempunyai masalah dari segi perundangan dengan pihak berkuasa kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, MHO akan tampil untuk membantu mencari penyelesaian.

“Kita bekerjasama dengan Persatuan Peguam Malaysia dan mereka akan membantu dari sudut khidmat bantuan guaman. Pada saya, ini bukan saja unik dan menarik, malah kita sebenarnya mendidik orang ramai mengenali hak mereka.

“Masalah paling kerap berlaku kepada warga asing di negara ini adalah majikan tidak membayar gaji dan menyimpan dokumen perjalanan mereka.

“Kesan masalah ini cukup besar. Pekerja yang masuk sah akhirnya menjadi pelarian dan pendatang. Sedangkan mereka ini mempunyai keluarga dan mungkin anak kecil yang menunggu disuapkan de­ngan hasil pendapatan diraih di negara ini,” katanya.

Khidmat MHO

1. Memberi khidmat nasihat perundangan kepada warga asing yang ingin pulang ke negara asal atau mahu bekerja di Malaysia secara sah, sekali gus mengelak ditipu.

2. Jika pesakit tidak memiliki dokumen, pengenalan mahupun visa sah dan ingin mendapatkan rawatan di hospital, maka pihak peguam akan mengeluarkan surat rujukan memohon diberi bantuan atas kemanusiaan dan rayuan pengurangan bil rawatan.

3. Jika berlaku kemalangan di tempat kerja, peguam akan membantu membuat tuntutan insurans seperti insuran bangunan, tapak dan lain-lain.

4. Jika majikan dan ejen menganiaya atau tidak membayar gaji, peguam akan mendakwa mereka ke muka pengadilan dan mewakili pekerja membuat tuntutan gaji.

5. Peguam akan mewakili ahli MHO dan majikan yang didakwa supaya tidak menerima hukuman berat, seperti sebatan atau di penjara dalam tempoh yang lama.

6. Jika ditahan pihak berkuasa, peguam akan berurusan serta-merta melalui talian hotline dan datang ke balai polis atau pejabat imigresen untuk memberi bantuan guaman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 12:58 PM