ADLIL RAJIAH
ADLIL RAJIAH
RAJIAH bersama suami melihat anak mereka bermain.
RAJIAH bersama suami melihat anak mereka bermain.
IBU bapa wajar menyokong anak bermain.
IBU bapa wajar menyokong anak bermain.
Intan Mas Ayu Shahimi


Bermain ialah fitrah dan hak anak yang perlu dipenuhi dengan memberi ruang dan masa selayaknya untuk mereka meneroka dunia sekeliling dengan keupayaan serta kehendak sendiri.

Malah bermain juga sangat berkait rapat dengan fungsi otak, pembentukan emosi dan sikap anak.

Menurut penceramah sambilan yang juga penulis buku laris bertajuk 3 Kertas, 3 Krayon, 3 Pensel Warna, Adlil Rajiah Mohd Nasir, bermain ialah titik permulaan asas proses pembelajaran bagi kanak-kanak. Permainan yang berkualiti akan menyentuh setiap aspek perkembangan anak secara menyeluruh.

“Dengan bermain, kanak-kanak akan memerhati, menyiasat, mencuba, mencipta, berfikir dan berimaginasi dengan cara mereka sendiri. Pada masa sama, mereka mula mengenali diri, meneroka dunia sekeliling, mempelajari kaedah menyelesaikan masalah, mengawal emosi dan tindakan dalam pelbagai keadaan. Pendek kata, mereka belajar dengan bermain,” katanya.

Menurut Rajiah, ramai ibu bapa terlepas pandang bermain sebenarnya membantu kanak-kanak membina kefahaman mengenai persekitaran dan manusia di sekeliling mereka. Percaya atau tidak, anak yang diberi lebih banyak peluang untuk bermain, biasanya lebih cepat matang, berpengetahuan luas dan berpandangan jauh.

“Sebenarnya, ibu bapa yang mengambil berat keperluan beraktiviti dan bermain anak sedang membentuk permata cergas serta pintar. Anak perlu diberi ruang yang cukup, persekitaran selamat, keselesaan dan perhatian daripada ibu bapa. Anak juga perlu berasa selamat, gembira dan selesa untuk bermain secara berkualiti dan membolehkan rangsangan minda mereka berlaku secara maksimum.

“Selain itu, ibu bapa mungkin boleh mewujudkan persekitaran yang mampu merangsang dan memberi cabaran kepada anak. Contohnya, kita boleh menyertai permainan mereka dan menunjukkan cara bermain. Namun selepas beberapa ketika, apabila anak sudah mula cenderung, kita perlu menarik diri secara perlahan-lahan untuk memberi ruang bereksperimen dan meneroka permainan berkenaan mengikut idea, imaginasi serta kemampuan mereka sendiri.

“Dalam situasi lain, ibu bapa perlu sentiasa membela hak anak yang selayaknya, iaitu diberi ruang dan masa untuk bermain. Ini kerana banyak kajian menunjukkan bermain ialah medium pembelajaran yang paling efektif, selain memberi rangsangan yang positif terhadap perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak.

“Untuk rujukan lebih lanjut, ibu bapa boleh mendapatkan naskhah 3 Kertas, 3 Krayon, 3 Pensel Warna. Buku ini memberi pendedahan kepada ibu bapa mengenai perkembangan awal kanak-kanak dengan lebih mendalam. Buku ini ditulis dengan bahasa santai dan ringkas, sesuai dengan jadual ibu bapa yang selalu padat dan tidak mempunyai masa untuk membaca,” katanya.

Sebagai ingatan, Rajiah turut menasihatkan ibu bapa supaya jangan sesekali menyekat hak bermain pada anak, semata-mata untuk melihat anak lebih maju dalam akademik berbanding orang lain.

“Itu ibarat membunuh potensi semula jadi anak secara perlahan-lahan dan melambatkan proses kejayaan mereka. Cuba kenali anak dan raikan setiap kelainan, keunikan, kekuatan, kepintaran yang ada padanya. Benarkan mereka membesar, belajar, dan mencipta kejayaan dengan cara mereka sendiri. Tugas kita selaku ibu bapa adalah menyokong!” katanya.

Bagaimana bermain boleh tingkat kualiti kanak-kanak?

Kemahiran berfikir dan kreativiti

Bermain menggalakkan anak membawa pengalaman dan cerita mereka sebagai satu situasi dalam sesuatu permainan. Mereka berimaginasi dan berkomunikasi dengan diri sendiri atau orang lain, mengenai apa yang di mainkan.

Mereka juga mampu berfikir untuk menggunakan peralatan yang diberi, dengan fungsi berbeza dan di luar batas kemampuan.

Contohnya, kereta boleh terbang, lori boleh jadi kereta api atau sikat digunakan sebagai mikrofon. Imaginasi mereka tidak terbatas dan tidak terhad kepada satu fungsi sesuatu permainan.

Kemahiran bersosial dan berkomunikasi

Bermain biasanya membabitkan rakan sebaya, sama ada berpasangan atau berkumpulan. Apabila sekumpulan kanak-kanak bermain dalam satu ruang dan alat permainan dikongsi bersama, ini secara tidak langsung memberi peluang kepada kanak-kanak untuk berkomunikasi serta berkongsi idea dan isu kompleks sesama mereka.

Kebiasaannya, anak tidak menggunakan bahasa pertuturan sebagai medium komunikasi, sebaliknya membuat simbol permainan atau aksi tertentu yang mereka fahami. Jadi, bermain sebenarnya ialah perkongsian bahasa yang dikuasai oleh kanak-kanak, sebagai permulaan kemahiran berkomunikasi mereka.

Kemahiran menyelesaikan masalah

Ketika bermain, anak akan mengalami beberapa keadaan yang mencabar seperti perlu berkongsi alatan permainan terhad, menentukan giliran bermain atau membuat sesuatu binaan lego atau blok secara berkumpulan.

Ini melatih anak untuk berfikir dan melontarkan idea mengenai cara untuk mengatasi cabaran diberi.

6 jenis bermain yang berkualiti

Permainan simbolik

Ini permainan paling biasa dan paling awal dilakukan oleh kanak-kanak. Sebagai contoh, kanak-kanak kecil menggunakan sudu atau sikat untuk dijadikan mikrofon, murid sekolah gemar melukis dan menconteng sebagai ekspresi perasaan, pengalaman dan idea mereka. Permainan jenis ini semula jadi dan sesuai untuk semua peringkat umur kanak-kanak.

Permainan epistemi

Anak mengkaji dan meneroka beberapa peralatan permainan yang berada di sekeliling mereka dengan menggunakan

deria. Mereka mula berfikir apa yang boleh dilakukan dengan permainan dan peralatan berkenaan. Permainan ini sesuai diaplikasikan kepada kanak-kanak kecil yang masih di peringkat mengenali diri sendiri dan dunia sekeliling mereka.

Berimaginasi

Biarkan mereka bereksperimen dengan peralatan permainan yang sudah diketahui fungsinya. Ia sesuai didedahkan kepada anak yang sudah tahu fungsi sesuatu alat permainan namun masih perlu berfikir di luar kotak mengenai apa lagi yang boleh dilakukan dengan alat terbabit serta mengkaitkan ia dengan keadaan persekitaran.

Permainan manipulatif

Beri anak bermain dengan kertas, kain, blok, tanah liat, gegelang, tiub atau apa saja bahan yang boleh dibina, dicantum, disusun dan dibentuk mengikut kreativiti serta imaginasi kanak-kanak itu sendiri. Hasil ciptaan mereka

nanti selalunya berkaitan dengan perkara yang pernah dialami atau dilihat dalam kehidupan seharian mereka. Contohnya rumah, kenderaan, makanan atau haiwan.

Melakonkan watak

Anak perlu memainkan watak tertentu dan membawa watak berkenaan dalam situasi permainan. Mereka akan berlakon dan aktif berfikir mengenai tindak balas serta dialog tertentu supaya selari dengan watak dan situasi yang dimainkan. Ibu bapa digalakkan untuk membabitkan diri dalam permainan bagi melatih dan membantu anak dalam memberi tindakan dan dialog yang betul, supaya mereka lebih realistik dalam dunia sebenar.

Permainan dengan peraturan

Aktiviti sebegini lebih rumit kerana ia membabitkan peraturan tertentu yang perlu dipatuhi dalam seseuatu permainan. Dengan mewujudkan beberapa peraturan tertentu, ia akan membantu anak berfikir lebih kreatif bagi menyelesaikan sesuatu konflik permainan, tanpa perlu melanggar peraturan. Contoh permainan seperti polis dan pencuri, galah panjang dan berebut tiang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 11:55 AM