Bot pukat tunda yang ditahan APMM. FOTO  ihsan APMM
Bot pukat tunda yang ditahan APMM. FOTO ihsan APMM
Hamzah Osman


Langkawi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan lima awak-awak tempatan dan merampas sebuah bot pukat tunda kerana melanggar syarat sah lesen di perairan Langkawi, di sini, pagi tadi.

Timbalan Pengarah (Operasi) Daerah Maritim 1 Langkawi (DM1) Komander Maritim R Vincent berkata, bot serta nelayan itu ditahan pada jam 10.30 pagi pada jarak lima batu nautika dari Tanjung Belua.

Katanya, ketika rondaan kapal peronda maritim mengesan bot pukat tunda kelas B1 itu sedang menarik pukat kira-kira lima batu nautika dari pantai.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot itu dinaiki lima awak-awak," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, bot pukat tunda dan awak-awak terbabit ditahan untuk siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang lapan batu nautika.

Sehubungan itu, beliau berkata, APMM akan terus mengadakan operasi dari semasa ke semasa untuk membanteras kegiatan penangkapan ikan secara tidak sah di perairan pulau pelancongan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 7:13 PM