BAHAGIAN hadapan Proton Perdana yang tampak garang.
BAHAGIAN hadapan Proton Perdana yang tampak garang.
LAMPU belakang menggunakan LED.
LAMPU belakang menggunakan LED.
ANTENA berbentuk sirip jerung.
ANTENA berbentuk sirip jerung.
LIANG untuk sistem pengudaraan enjin lebih baik.
LIANG untuk sistem pengudaraan enjin lebih baik.
LAMPU nyalaan siang.
LAMPU nyalaan siang.
TEMPAT duduk pemandu boleh dilaras secara elektronik.
TEMPAT duduk pemandu boleh dilaras secara elektronik.
STERENG kuasa yang lengkap dengan pelbagai suis.
STERENG kuasa yang lengkap dengan pelbagai suis.
KOKPIT tampak kemas.
KOKPIT tampak kemas.
RUANG dalaman mewah.
RUANG dalaman mewah.
Mohd Razlan Salleh


Tergerak hati untuk menguji Proton Perdana generasi keempat yang terbaru, akhirnya hasrat penulis termakbul apabila menerima kunci kereta nasional itu untuk dipandu uji.

Bagi peminat dunia automotif, ramai mengetahui model premium itu dibina atas platform Honda Accord generasi kelapan.

Namun, penghargaan perlu diberikan kepada jurutera PROTON kerana berjaya menghasilkan reka bentuk berdasarkan karakternya yang tersendiri.

Melihat pada reka bentuk luarannya, ternyata saiznya lebih besar berbanding model sama sebelum ini.

Tidak dinafikan usaha sama PROTON bersama pengeluar kenderaan berbeza membuatkan Proton Perdana memiliki rupa paras berlainan tetapi masih mengekalkan identiti asli sebagai kereta tempatan.

Ini jelas dapat dilihat melalui bahagian hadapan model ini yang mengekalkan bentuk ‘sayap’ antara perumah lampu hadapan.

Padanan bersama gril yang lebar menyerlahkan identiti Proton. Perumah utama yang agak runcing bersama lampu nyalaan siang tampak eksklusif, segar dan sporty.

Bagi penulis, ‘Wing Design’ yang diterapkan berjaya mengubah rupa Proton Perdana ini daripada model asalnya.

Rekaan sisinya pula dihiasi jalur yang memperlihatkan ciri mewah, selain pada masa sama membantu aerodinamik kenderaan.

Bahagian belakang pula masih kekal anggun dengan rekaan lampu brek LED yang moden.

Walaupun secara asasnya ia adalah rekaan bagi Honda Accord, ketelitian pereka Proton memboleh­kan Perdana ‘dilahirkan semula’ sebagai sebuah kereta baru yang lebih segar.

Menerjah ke ruang dalaman pula, pastinya aspek keselesaan dan kemewahan tidak diabaikan.

Balutan kulit pada kerusi dan panel pintu sudah cukup membuatkan Proton Perdana berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Sama ada memandu atau menjadi penumpang hadapan atau belakang, keselesaan tetap dirasai.

Tempat duduk pemandu boleh dilaras secara elektronik, memudahkan pemandu mencari posisi memandu yang selesa. Papan pemukanya pula tidak banyak berubah berbanding model asal dengan kemasan kayu menghiasi ruang kokpit.

Skim warna beige pada ruang kabinnya memberi kesan luas dan mewah tetapi mudah kotor terutama mereka yang memiliki anak kecil. Dari segi prestasi pula, enjin 2.4L DOHC VTEC berupaya menjana kuasa mencecah 178hp pada 6,500rpm dengan tork maksimum 222Nm pada 4,300rpm.

Padanan transmisi automatik lima kelajuan yang boleh dikawal dengan pedal tukaran gear di belakang stereng menjadikan pecutan Proton Perdana tidak mengecewakan.

Ketika memecut laju merentasi lebuh raya, Proton Perdana mampu mencapai kelajuan diinginkan dengan mudah.

Gabungan suspensi double wishbone pada roda hadapan dan multilink di belakang menawarkan pengendalian yang mantap dan stabil.

Penulis tidak menafikan Proton Perdana 2.4L ialah sebuah sedan segmen D yang lengkap dan mampu menarik perhatian golongan eksekutif muda.

Ditawarkan pada harga RM138,888 seunit, model ini boleh dipertimbangkan sekiranya anda mencari sebuah kenderaan tempatan berjiwa import.

INFO

PROTON PERDANA 2.4L

• Enjin: 2,354cc empat silinder 16 injap DOHC

• Kuasa maksimum: 178hp pada 6,500rpm

• Tork maksimum: 222Nm pada 4,300rpm

• Transmisi: Automatik lima kelajuan dengan pedal tukaran gear

• Suspensi: Double wishbone (roda ha­dapan) dan multilink (roda belakang)

• Ciri keselamatan: Empat beg udara, ABS, EBD, ESC, lampu hadapan automatik, ISOFIX, kamera undur

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 5:29 AM