NIKMATI kedinginan air gunung dan kehijauan alam di Air Terjun Kota Tinggi.
NIKMATI kedinginan air gunung dan kehijauan alam di Air Terjun Kota Tinggi.
myMetro

Terletak di kaki Gunung Muntahak, Air Terjun Kota Tinggi nyata memberikan keterujaan buat pengunjungnya.

Dengan jarak kira-kira 34 meter dari gunung, keindahan semula jadi kawasan ini menyegarkan dan memberikan ketenangan pengunjung.

Air Terjun Kota tinggi ini sangat sesuai dikunjungi keluarga kerana mempunyai kawasan air terjun yang landai.

Ia juga dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk gelongsor air buatan manusia yang menambahkan keceriaan pengunjung terutama kanak-kanak.

Berkunjung ke air terjun ini, anda dilarang membawa makanan sendiri. Jika lapar, anda boleh membeli makanan di gerai yang disediakan.

Bagi anda yang ingin menginap pula, Kota Tinggi Waterfall Resort menawarkan bilik yang boleh dipilih bersesuaian dengan bajet.

Selain aktiviti mandi-manda, Air Terjun Kota Tinggi ini juga tempat hebat bagi pencinta alam yang ingin memerhatikan burung dan pelbagai spesies serangga di kawasan sekitar.

Air terjun ini kira-kira 15 kilometer (km) di utara pekan Kota Tinggi. Untuk ke sana menerusi Lebuh Raya Utara-Selatan keluar di persimpangan Kulai kemudia pandu terus ke jalan utama menuju Kota Tinggi.

Dari pekan Kota Tinggi, ikut Jalan Lombong dan cari papan tanda menunjukkan arah ke air terjun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 12:11 PM