PEMBERIAN Perakuan Status Swaakreditasi Agensi Kelayakan Malaysia menjadi penanda aras bagi institusi yang menerimanya sekali gus meningkatkan lagi daya saing dalam penawaran program baru berkualiti.- Gambar hiasan
PEMBERIAN Perakuan Status Swaakreditasi Agensi Kelayakan Malaysia menjadi penanda aras bagi institusi yang menerimanya sekali gus meningkatkan lagi daya saing dalam penawaran program baru berkualiti.- Gambar hiasan
APABILA diberikan status Swaakreditasi, IPT memikul tanggungjawab besar untuk memberikan mekanisme terbaik menerusi program ditawarkan bagi meneruskan kejayaan anak bangsa. - Gambar hiasan
APABILA diberikan status Swaakreditasi, IPT memikul tanggungjawab besar untuk memberikan mekanisme terbaik menerusi program ditawarkan bagi meneruskan kejayaan anak bangsa. - Gambar hiasan
 INSTITUSI terbabit boleh mengakreditasi sendiri program pengajian di universiti masing-masing sekali gus memastikan program terbaik saja ditawarkan. - Gambar hiasan
INSTITUSI terbabit boleh mengakreditasi sendiri program pengajian di universiti masing-masing sekali gus memastikan program terbaik saja ditawarkan. - Gambar hiasan
TIDAK ramai yang tahu mengenai status emas Perakuan Status Swaakreditasi yang menjadi buruan setiap IPT. - Gambar Google
TIDAK ramai yang tahu mengenai status emas Perakuan Status Swaakreditasi yang menjadi buruan setiap IPT. - Gambar Google
PERAKUAN diterima institusi akan menyediakan satu tahap pengiktirafan lebih tinggi berasaskan prestasi kualiti ditunjukkan. - Gambar Google
PERAKUAN diterima institusi akan menyediakan satu tahap pengiktirafan lebih tinggi berasaskan prestasi kualiti ditunjukkan. - Gambar Google
PELBAGAI usaha dilaksanakan IPT negara dalam usaha menjadikan sektor pendidikan tinggi berdaya saing serta mampu melahirkan graduan yang mempunyai kriteria terbaik seiring permintaan globalisasi. - Gambar Google
PELBAGAI usaha dilaksanakan IPT negara dalam usaha menjadikan sektor pendidikan tinggi berdaya saing serta mampu melahirkan graduan yang mempunyai kriteria terbaik seiring permintaan globalisasi. - Gambar Google
Ruhaiza Rusmin


Usaha memperkasakan kewibawaan institusi pengajian tinggi (IPT) negara sebenarnya sangat mencabar, apatah lagi dalam dunia global pada hari ini yang serba kompleks.

Pelbagai inisiatif dan usaha dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan matlamat sasaran berjalan seiring dengan permintaan sekali gus meninggikan taraf IPT sebagai gedung ilmu yang mampu memberi sumbangan kepada kemajuan sosioekonomi negara dan pembangunan modal insan.

Antara diperkasakan termasuk peningkatan jumlah pensyarah yang mempunyai ijazah doktor falsafah di setiap institusi, penyelidikan dan inovasi, penulisan jurnal berimpak tinggi serta pengantarabangsaan.

Terbaru, dalam usaha meningkatkan lagi kapasiti IPT sebagai sebuah gedung ilmu tersohor KPT menganugerahkan lapan lagi universiti awam (UA) dan swasta dengan Perakuan Status Swaakreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Kelayakan itu membolehkan institusi terbabit mengakreditasi sendiri program pengajian di universiti masing-masing.

Lapan institusi terbabit adalah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi MARA (UiTM). International Medical University (IMU), Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR) , Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Naib Canselor UiTM Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, pengiktirafan itu membuktikan IPT di negara ini berwibawa dalam menguruskan, mengendali kecukupan dan kesanggupan mengawal sesebuah program akademik.

Menurutnya, bukan mudah bagi institusi melaksanakan usaha berkenaan yang memperincikan kualiti setiap aspek terutama dalam penawaran program.

“Namun atas profesionalisme serta kepakaran yang dipunyai setiap institusi terbabit, ia mampu dilaksanakan.

“Pemberian Perakuan Status Swaakreditasi Agensi Kelayakan Malaysia ini satu penanda aras baru bagi institusi yang sudah memperolehnya.

“Ia bukan saja pengiktirafan membanggakan institusi namun turut datang dengan tanggungjawab besar bagi melunaskan kelangsungan kecemerlangan anak bangsa,” katanya.

Akreditasi berkenaan dilakukan melalui sistem kualiti dalaman berpandukan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) dan standard serta ketetapan dibuat MQA dan KPT dari semasa ke semasa.

Sebelum ini, lapan IPT awam dan swasta sudah menerima pengiktirafan berkenaan iaitu Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Monash University Malaysia, University of Nottingham (kampus Malaysia), Curtin University, Sarawak, dan Swinburne University of Technology (kampus Sarawak).

Dr Hassan berkata, walaupun UiTM sudah lama mengamalkan pengurusan kualiti, namun dengan pengiktirafan diperoleh UiTM akan memperluaskan skop Jaminan Kualiti bagi pelbagai program ditawarkan.

“Bagi menyokong inisiatif ini, pasukan panel penilai yang terdiri daripada pensyarah berpengalaman dalam bidang masing-masing akan dilatih dan dibentuk.

“Pencapaian ini juga akan membantu UiTM menghadapi isu kekangan kewangan lantaran pengurangan kos semasa proses menawarkan program baru,” katanya.

Sementara itu, dalam temu ramah bersama BERNAMA, baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif MQA Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa berkata tidak ramai orang tahu akan ‘status emas’ yang menjadi buruan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan itu.

Menurutnya, Swaakreditasi adalah perakuan yang dikeluarkan oleh MQA ke atas IPT yang terbukti mempunyai sistem jalinan kualiti dalaman kukuh dan mantap berdasarkan standard ditetapkan.

“Menerusi perakuan itu, MQA memberi kepercayaan kepada Senat IPT berstatus Swaakreditasi untuk mengakredit sendiri program pengajiannya kecuali program profesional yang memerlukan akreditasi serta pengiktirafan badan profesional yang berkenaan.

“Pelaksanaan perakuan status itu menyediakan satu tahap pengiktirafan lebih tinggi berasaskan prestasi kualiti sesebuah universiti yang berusaha memperkasa dan memperkukuh sistem kualiti dalaman mereka.

“Ia diharap dapat menyuntik daya saing dalam kalangan IPT tempatan untuk terus berusaha memperkasa kualiti IPT mereka,” katanya.

Untuk memperoleh perakuan berkenaan, institusi boleh memohon perakuan status Swaakreditasi kepada MQA selepas mendapat undangan daripada Menteri Pendidikan Tinggi.

IPT yang layak perlu mempunyai kriteria tertentu seperti sudah beroperasi sekurang-kurangnya 10 tahun sebagai universiti dan mencapai Tier 5 dalam Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia.

“IPT yang diundang perlu mengemukakan permohonan berdasarkan format Laporan Penilaian Kendiri yang telah ditetapkan MQA.

“Audit institusi membabitkan sepasukan juruaudit dilantik MQA serta pakar akademik yang mempunyai pengalaman luas mengenai sistem kualiti akademik universiti,” katanya.

Dr Rujhan berkata audit institusi itu juga membabitkan lawatan ke kampus induk, kampus cawangan serta pusat pembelajaran IPT berkenaan bagi penyediaan laporan menyeluruh dan perakuan oleh juruaudit.

“Namun tidak semua program IPT boleh diakredit sendiri kerana terdapat tiga kategori program yang dikecualikan daripada proses Swaakreditasi IPT.

“Program yang tidak tertakluk kepada status itu dan masih perlu melalui proses penilaian MQA adalah program profesional seperti kejuruteraan dan farmasi, program dijalankan secara kerjasama dengan universiti lain serta program ditawarkan anak syarikat IPT berstatus Swaakreditasi,” katanya.

Penilaian semula status Swaakreditasi akan dilaksanakan setiap lima tahun sekali dan itu boleh ditarik balik sekiranya terbukti berlaku penurunan kualiti program ditawarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 9:29 PM