APRILIA RSV4 Factory menawan.
APRILIA RSV4 Factory menawan.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Aprilia adalah nama pengeluar motosikal terkemuka dari Itali yang mana sebelum ini pernah mengeluarkan basikal, skuter dan motosikal kecil.

Nama Aprilia dalam kejohanan dunia termasuk World Superbike Championship (WSBK) tidak dapat dipertikaikan apabila pernah melakar sejarah memenangi kejuaraan.

Selepas mula dikenali sebagai ‘Raja Litar’, Aprilia meneruskan pengeluaran motosikal seperti RSV4 Factory yang menjadi model untuk kategori SuperSports.

Dilancarkan antara 2010 dan 2011 dengan pemanduan tunggal serta bentuk yang menawan, membuat setiap penunggang merasakan sensasi dan bergaya tatkala mengendalikannya di jalanan.

Ditambah dengan enjin V4 bersesaran 999 cc dan memiliki 200 kuasa kuda (hp) menjadikan jentera itu amat digilai peminat pada satu ketika.

Bagi pemilik jentera itu, Azrul Hashimi Zakaria, 33, jentera tahun 2011 miliknya unik dan berbeza apabila sedikit pengubahsuaian pada rupa jentera menjadikannya tampak seperti varian terbaru.

Mengguna pakai set badan RSV4 RF 2016, ia seperti model terbaru Aprilia yang lebih ringan dan memiliki 230hp.

Dengan tema Itali serta padanan pelbagai aksesori spesifikasi perlumbaan menjadikan jentera begitu gah. Pelbagai aksesori dari Lightech dipasang seperti pelindung brek, skru, pelindung cermin, enjin slider dan sebagainya.

Bahagian pengendalian, fork hadapan digantikan dengan Ohlins manakala kuasa hentian menggunakan yang asal iaitu brek cakera berkembar Brembo.

Selain itu penambahan pelindung angin MRA Germany Windshield 0 Gravity menjadikan jentera stabil dan mampu dikawal dengan lebih baik. Penambahan beberapa aksesori lain seperti pelaras kaki serta gear perlumbaan GP menjadikan jentera ini lebih bergaya sewaktu dalam mod pemanduan.

Enjin jentera ini tidak dilakukan pengubahsuaian namun penukaran beberapa komponen penting seperti gegancu Renthal rantai DID serta ekzos Akrapovic sedikit sebanyak melonjakkan kuasa.

Pelbagai lagi aksesori tambahan pada jentera ini namun pemasangan Bridgestone Racing Street Tyre menambah lagi imej jentera khusus untuk kegunaan litar.

Menurut pemilik jentera edisi terhad ini, yang hanya ada beberapa buah di dalam pasaran Malaysia, sedia dilepaskan jika ada peminat yang mahu membelinya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 5:05 AM