PENGUNJUNG bergambar di depan GreenMan Tiny Home.
PENGUNJUNG bergambar di depan GreenMan Tiny Home.
RUANG belajar dan tidur tetap selesa walaupun dalam keluasan terhad.
RUANG belajar dan tidur tetap selesa walaupun dalam keluasan terhad.
SUDUT bermanfaat dilengkapi kabinet dwifungsi daripada kayu terpakai.
SUDUT bermanfaat dilengkapi kabinet dwifungsi daripada kayu terpakai.
REKA bentuk GreenMan Tiny Home berlatarkan hijau alam dan natural.
REKA bentuk GreenMan Tiny Home berlatarkan hijau alam dan natural.
Hartini Mohd Nawi


Berinspirasikan rumah kampung, binaan GreenMan Tiny Home antara usaha menzahirkan kehidupan lestari di negara ini.

Inisiatif memberi sentuhan moden ke atas rumah kampung tradisional Melayu juga salah satu langkah positif sebagai binaan sifar tenaga, karbon neutral dan mampu milik.

Pendekatan itu cuba diketengahkan pasukan diketuai Matthias Gelber dengan menampilkan GreenMan Tiny Home antara yang pertama di negara ini.

Pembinaan prototaip kediaman itu bermula pada September tahun lalu di makmal Kerja Raya Malaysia.

Kemudian tampil sebagai kediaman sebenar Februari lalu untuk tatapan pengunjung Kompleks Kraf, Jalan Conlay Kuala Lumpur, sempena Hari Kraf Kebangsaan 2017.

“Kediaman moden hari ini menjadikan penggunaan pendingin hawa sebagai satu keperluan.

“Kami menggunakan semula struktur asal rumah kampung dan menjadikan kehidupan di bandar lebih selesa tanpa perlu bergantung kepada sumber elektrik luar serta bekalan air semata-mata.

“Ramai beranggapan kehidupan hijau itu mahal tapi saya ingin membuktikan ia boleh menjadi kos yang efektif,” katanya yang turut popular di peringkat global dengan gelaran ‘The Green Man’.

Matthias berkata, penggunaan perkakasan yang menggunakan tenaga elektrik tinggi sudah tentu dapat dielakkan sepenuhnya.

Menurutnya, Projek GreenMan Tiny Home itu adalah eksperimen bagi tujuan pendidikan dan berharap ia dapat memberi inspirasi kepada rakyat negara ini.

“Rekaan GreenMan Tiny Home ini diinspirasikan daripada rumah kampung tradisional Melayu yang dibina menggunakan bahan mesra alam dan dipasak bagi memastikan ruang sentiasa sejuk serta bebas haba.

“Malah GreenMan Tiny Home ini juga membabitkan penerokaan inovatif termasuk takungan air hujan, tenaga solar dan tandas bebas kuman,” katanya mengakui rumah itu antara pertama dibina mudah alih.

Pada masa sama GreenMan Tiny Home juga diharap bakal membawa perubahan kepada industri pembangunan perumahan tempatan.

“Pengalaman kami ini dikongsi kepada orang ramai dan diharap pemaju dapat bekerjasama dalam memberikan idea mereka untuk membina bangunan yang mesra alam,” kata Matthias.

Menurut arkitek dan jurutera GreenMan Tiny Home Dr Paul D’Arcy pula, banyak usaha diambil dalam memilih jenis bahan binaan rumah itu.

“Menyedari kandungan karbon yang ada di dalam kebanyakan bahan binaan, kami memilih untuk mengitar semula, menggunakan barangan buatan tempatan dan mampan dalam menghasilkan struktur karbon neutral,” katanya.

“Saiz GreenMan Tiny Home yang kompak hanya menguna pakai ruang yang kecil untuk aktiviti harian dan pergerakan tanpa halangan.

“Secara keseluruhan rumah ini hanya bersaiz 2.5 meter (m) x 4.5m dan keluasan lantai pada 120 kaki persegi yang menjadikan ia lebih kecil berbanding saiz tempat letak kereta biasa.

“Kami mengguna pakai bahan untuk pembinaan secara efisien bagi mengurangkan sisa buangan.

“Hasilnya adalah sebuah pangsapuri bersaiz studio yang selesa dengan dapur yang bersambung, bilik air yang berfungsi sepenuhnya dan pastinya sifar tenaga,” kata Dr Paul.

Rekaan in dibuat khas untuk menjadikan ia modular supaya keluarga yang besar dapat mengalami sendiri kelebihan rekaan yang mesra alam dan ‘off-grid.’

Lebih membanggakan lagi, rumah bersaiz tempat letak kereta ini dibangunkan hasil usaha sama orang ramai termasuk beberapa pemain industri pembinaan tempatan yang berkongsi komitmen dalam menggalakkan gaya hidup mesra alam di Malaysia.

Pembangunan, penyelidikan dan ujian disokong Majlis Kerja Raya Malaysia, Bahagian Penyelidikan dan Ujian Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta beberapa syarikat swasta.

Sebarang maklumat lanjut layari www.greenmantinyhome.com atau anda juga boleh melawat akaun rasmi Facebook di fb.com/GreenManTinyHome.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2017 @ 12:13 PM