Petugas media tempatan dan luar negara membuat pendaftaran bagi membuat liputan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA '17) bermula esok. Foto HAMZAH OSMAN
Petugas media tempatan dan luar negara membuat pendaftaran bagi membuat liputan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA '17) bermula esok. Foto HAMZAH OSMAN
Muhaamad Hafis NawawiFardy Bungga  Sofyan Rizal Ishak dan Hamzah Osman


Langkawi: Hampir 500 petugas media mula membanjiri pusat pendaftaran di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) seawal jam 9 pagi, hari ini.

Petugas media turut diberi pas media khas bagi membuat liputan sepanjang Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA '17) yang bermula esok hingga 25 Mac ini.

Mereka turut diberi topi, baju T dan beg sebagai cenderamata selepas selesai urusan pendaftaran.

Tinjauan mendapati media tempatan dan antarabangsa membawa pelbagai kelengkapan peralatan yang bakal digunakan sepanjang LIMA '17 berlangsung.

Malah kontraktor dan pempamer sedang giat membuat persiapan akhir sebelum majlis perasmian LIMA '17 pagi esok dijangka dirasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Perhubungan Awam Unit Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan Malaysia Leftenan Kolonel Salawati Yahaya berkata, sehingga 11 pagi hari ini, hampir 500 petugas media pelbagai agensi sudah mendaftar.

Sebanyak 550 syarikat pempamer daripada 38 negara sudah mengesahkan menyertai LIMA 2017 dengan segmen pameran aeroangkasa berlangsung di MIEC di Padang Matsirat, manakala segmen maritim di Tanjung Malai.

Pelajar tahun empat Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Nurul Annisha Alias, 24, berkata dia berminat menyertai pasukan sokongan penganjur LIMA 2017 selepas membaca iklan pengambilan sukarelawan melalui media sosial.

“Saya dan beberapa rakan segera menghantar permohonan melalui dalam talian kepada penganjur, dan Alhamdulillah terpilih sebagai sukarelawan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 12:34 PM