Amirul Haswendy Ashari


Malang tidak berbau apabila aktres Kdrama jelita, Im Soo Jung cedera ringan ketika penggambaran drama terbaru, Chicago Typewriter.

Dalam kejadian Rabu lalu, sumber dari kru produksi menjelaskan, Soo Jung mengadu sakit lutut ketika menjalani penggambaran babak berlari dan terus dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Difahamkan, hasil pemeriksaan mendapati kecederaan dialami tidak serius namun mereka perlu memantau keadaannya untuk mengelak kesakitan semakin teruk sepanjang penggambaran.

Agensi mewakili Soo Jung, YNK Entertainment memberi jaminan kepada peminat artis kesayangan mereka itu berada dalam keadaan baik.

“Kecederaannya tidak serius dan dihantar ke hospital sebab mengadu sakit. Buat masa ini, dia berada dalam keadaan baik dan penggambaran akan diteruskan seperti biasa,” kata wakil agensi.

Drama terbaru terbitan tvN bergenre fantasi romantik itu mengisahkan penulis terkenal, penulis hantu dan bukan peminat penulis. Ia akan disiarkan April depan.

Sementara itu, Soo Jung juga pernah berdepan dengan kritikan hebat netizen kerana isu dianggap terlalu remeh.

Tahun lalu, beberapa netizen menanam rasa benci terhadap aktres itu yang memuat naik swafoto dirinya di laman Instagram.

Dalam foto itu dia langsung tidak mengenakan solekan dan wajahnya kelihatan penat. Pada foto itu, dia turut menulis, “saya penat hari ini tapi akan cuba pulihkan tenaga melalui makanan yang enak.”

Sebaik saja dimuat naik, dia mendapat komen negatif bertubi-tubi. Tapi aktres itu tidak duduk diam dan mempertahankan tindakannya.

Dia memuat naik sekeping lagi swafoto tanpa solekan dengan ayat yang lebih panjang.

“Saya tidak suka pakai solekan setiap hari kecuali jika perlu menghadiri acara penting. Apabila saya mahu kelihatan terbaik sebagai aktres, saya akan dapatkan bantuan pakar seperti penata gaya, jurusolek dan pendandan rambut.

“Melalui sentuhan istimewa mereka, saya bertukar menjadi aktres Im Soo Jung. Sebab itu saya berbanyak terima kasih pada mereka dan saya sangat sayang mereka.

“Tapi untuk saya yang sebenar, inilah penampilan terbaik saya. Bukan bermakna keyakinan saya sangat tinggi sehingga perlu memuat naik foto yang lebih cantik tapi apa yang kamu boleh lakukan apabila berada pada usia saya yang pastinya ada perubahan tersendiri.

“Rakan baik saya sudahpun menjadi ibu kepada anak-anak yang comel dalam satu keluarga bahagia dan ia perkara biasa.

“Bezanya saya pilih jalan hidup yang berbeza berbanding mereka tapi masih sedar umur sebenar saya. Saya terima keadaan saya sebenar dan mencintainya sepenuh hati,” katanya panjang lebar.

Katanya, sebagai wanita yang berada pada usia 30-an, adalah penting untuknya menonjolkan sisi kehidupan sihat dan berkarisma.

Apatah lagi ia menjadi sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai aktres. Di akhir kenyataannya, Soo Jung mengucapkan terima kasih kepada peminat dan mereka yang sudi melawat laman sosialnya.

Nampaknya, Soo Jung tidak saja cantik di luar, malah dia juga membuktikan kecantikan lahir dari dalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2017 @ 5:05 AM