PENGASAS L’Occitane,Olivier Baussan.
PENGASAS L’Occitane,Olivier Baussan.

Memakai jaket biru gelap dipadankan jean dan sepasang sepatu kulit menyerlahkan gaya kasual Olivier Baussan, 62. Kulit yang cerah serta mulus menjadikan wajah lebih muda daripada usia sebenar.

Ada wakil media bertanya rahsia penjagaan kulit sehingga tampil muda sentiasa, dia tersenyum sambil berkata, "Saya menggunakan L'Occitane," dalam bahasa Perancis.

Walaupun berbual menerusi seorang jurubahasa, pengasas produk kecantikan terkenal di Perancis ini begitu bersungguh-sungguh memberikan jawapan.

Bercerita mengenai produk kesayangannya L'Occitane, semuanya bermula pada usia 23 tahun apabila Baussan menghasilkan produk kecantikan sendiri. Dengan sebuah penyuling wap lama, dia menggunakan apa saja yang diketahui mengenai minyak pati tumbuh-tumbuhan untuk menghasilkan syampu. Kemudian, syampu ini dijual di pasaran tempatan di rumahnya di Haute-Provence menggunakan sebuah van.

Sedikit demi sedikit pengetahuan dan kemahirannya berkembang sehingga dia berani mengeluarkan jenama sendiri L'Occitane pada 1976 bermula dengan krim tangan mentega shea. Permintaan yang tinggi bagi produk jualannya mendorong Baussan membuka kedai pertamanya pada 1979.

Pada 1980 pula ketika Baussan berjalan-jalan di sebuah kilang di Marseille, Perancis dia menemui pemilik kilang sabun yang sudah bersara lalu memberikannya peralatan menghasilkan sabun. Dengan penuh semangat dan kecintaan terhadap produk kecantikan, hari ini L'Occitane berjaya dijual di lebih 100 negara di seluruh dunia melalui 1,500 lokasi runcit.

Pada awal 90-an, jenama ini memerlukan pertambahan modal untuk terus berkembang dan seseorang yang dapat membangunkan nilai tradisi. Dia kemudian bertemu Reinold Geiger, seorang usahawan terkenal yang akhirnya dilantik menjadi presiden syarikat itu pada 1996. Perlantikan ini membolehkan Baussan menjadi pemegang saham minoriti bagi membolehkannya meluangkan masa bersama keluarga.

Idea kreatif dan sentiasa melangkau jauh ke hadapan, pada 1997 Baussan menterjemahkan label botol ke dalam tulisan Braille, menjadikannya satu

daripada beberapa jenama di dunia yang memenuhi visual untuk golongan cacat penglihatan.

"Ia sebagai sokongan serta menghormati golongan minoriti sejajar dengan nilai murni yang ditetapkan jenama ini," katanya.

Baussan menghasilkan produk Immortelle pertama, krim Precious yang didatangkan dalam balang biru tradisional, dicipta 10 tahun lalu.

"Saya mahu balang kelihatan seperti pasu yang mengandungi produk berharga. Apabila diletakkan di meja, ia sangat membanggakan," jelasnya.

Baussan memilih biru yang digambarkan seperti laut dan kuning sebagai penghormatan kepada matahari bagi menyuburkan tumbuhan Immortelle.

Walaupun Baussan bergantung kepada pasukannya mengendalikan perniagaan, dia turut merasai cabaran serupa. Bezanya, Baussan bijak mengendalikan perasaan sehingga apa yang diimpikan menjadi kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 5:31 AM