Kuala Lumpur: Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) berharap mesyuarat khas dirancang pada Rabu depan membabitkan pemain, Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bukanlah satu sandiwara.

Malah, badan berkenaan berharap perjumpaan yang bakal dikendalikan Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM Datuk Takiyuddin Hassan itu akan membawa ke arah penyelesaian masalah.

“Kami ucapkan terima kasih kepada FAM membawa kes tunggakan gaji ke tahap ini. Akhirnya rintihan kami didengari serta berharap mesyuarat khas ini bukan sandiwara dan sememangnya menuju ke arah menyelesaikan masalah.

“Kami tidak mahu memanjangkan kes ini dan mahu menyelesaikannya dengan baik kerana pemain sudah lama menderita apabila tidak dibayar gaji.

“Semua 12 pemain yang kami wakili dijangka hadir dan sudah dimaklumkan tentang pertemuan itu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PFAM Izham Ismail.

PFAM membawa kes berhubung tunggakan gaji berkenaan kepada pengetahuan FAM pada 12 November lalu dengan menghantar afidavit selepas tidak mendapat reaksi balas PFA berhubung tunggakan gaji pemain Singa Utara yang beraksi di Liga Perdana musim lalu.

PFA didakwa gagal melunaskan bayaran gaji selama lima bulan bermula Julai hingga November lalu dengan ada pemain terpaksa bersara awal dan mencari pekerjaan lain susulan masalah berkenaan.

Ditanya mengenai situasi baki pemain Perlis yang lain, Izham berkata, pihaknya memperjuangkan nasib 12 pemain yang membuat aduan dan tidak bertindak tanpa mendapat kebenaran kerana mereka mungkin mempunyai cara penyelesaian sendiri.

“Kami tidak mengetahui status pemain lain kerana kami tidak boleh memandai-mandai. Mereka mungkin tidak mahu menyelesaikannya, mempunyai peguam sendiri atau sebagainya. Kami akan mengendalikan kes pemain yang datang membuat aduan kepada kami saja,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:15 AM