Mohd Ruzaini Zulkepli


Kota Kinabalu: Polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sekiranya wujud unsur kecuaian dalam kalangan anggotanya sehingga menyebabkan banduan kes rogol dan samun lolos dalam kejadian di Nangoh, Beluran, Sabtu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, bagaimanapun kes itu masih dalam siasatan dan pihaknya giat mengesan banduan berkenaan.

Beliau berkata, jika wujud kecuaian membabitkan dua anggota dan seorang pegawai dalam kejadian berkenaan, mereka akan berhadapan dengan tindakan tatatertib.

"Sekiranya wujud unsur kecuaian, tindakan akan diambil," katanya dalam sidang media selepas Program Lawatan Kerja Pesuruhjaya Polis Pasukan Polis Diraja Brunei di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pesuruhjaya Polis Brunei Datuk Seri Mohd Jammy Muhd Shah Al Islam.

Dalam kejadian jam 7.30 malam Sabtu lalu, Nasrudi@Sudi Ambo, 29, meloloskan diri daripada kawalan tiga polis dengan melarikan diri ke kebun kelapa sawit.

Difahamkan, suspek melarikan diri dengan keadaan tangan bergari.

Suspek yang juga warga Indonesia itu disyaki terbabit kes rogol remaja perempuan berusia 17 tahun dan turut menyamun mangsa bersama tunangnya pada 18 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 11:57 AM