Kuala Lumpur: Jangan lari daripada tanggungjawab!

Itu kenyataan Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) Hairuddin Omar yang menegaskan perkara utama berhubung tunggakan gaji lima bulan dihadapi pemain skuad Perlis musim lalu.

“Isu pokok adalah gaji. Selesaikan dulu gaji tertunggak, selepas itu jika mahu membuat laporan kepada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) teruskanlah. Saya juga menyokong tindakan itu, namun jangan lari daripada tanggungjawab (bayar tunggakan gaji),” katanya.

Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) Datuk Rozabil Abdul Rahman kelmarin mendakwa berlakunya rasuah dalam kalangan pemain Perlis yang beraksi di Liga Perdana musim lalu dan menuntut pengakuan pemain terbabit.

“Pemain melakukan sidang media kerana ia jalan terakhir apabila segala prosedur dilakukan sebelum ini seperti menghubungi pegawai PFA tidak mendapat reaksi balas. PFAM sendiri sudah menghantar dua surat penjelasan kepada PFA dan satu afidavit kepada FAM mengikut prosedur, namun tiada reaksi balas. Ini menunjukkan PFAM tidak serius mahu menyelesaikan masalah ini.

“Bagi saya perkara ini boleh diselesaikan secara baik antara kedua-dua pihak andai PFA mengambil berat dan serius di peringkat awal lagi,” tegas bekas pemain kebangsaan itu.

Malah Hairuddin berkata, andai gaji dibayar dengan baik, perkara seperti rasuah atau unsur negatif lain mungkin tidak berlaku.

“Soal beliau mahu melaporkan kepada polis terpulang kepadanya. Sekiranya sudah tahu perkara ini berlaku dalam pasukan, beliau bertanggungjawab dan berasa malu,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan pihaknya akan membincangkan isu membabitkan tunggakan gaji pemain Perlis Rabu depan.

“FAM akan bermesyuarat dengan Persatuan Bolasepak Perlis dan pemain di Wisma FAM pada tarikh itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 6:57 AM