Dr Paranthaman Kaneson (Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Manipal dan Klang)

Mengaitkan ER (bilik kecemasan) kita akan terus teringat siri popular lakonan George Clooney, yang bersiaran selama 15 tahun serta berjaya merangkul 124 pencalonan Anugerah Emmy. Kita juga teringat akan Dr House yang eksentrik hingga melekakan penonton dengan beberapa penyelesaian kes perubatan yang aneh ataupun pasukan Grey’s Anatomy, Night Shift mahupun Code Black.

Di sebalik drama bersiri dan watak menarik itu, adakah kita pernah tertanya-tanya apakah yang sebenarnya berlaku di dalam bilik kecemasan dalam kehidupan?

Suatu malam seperti kebiasaannya, hujan renyai-renyai ketika James yang berusia 28 tahun memandu di Lebuhraya Persekutuan.

Dia memecut laju untuk sampai ke destinasi kerana tidak sabar bertemu dengan seorang teman rapatnya. Ditakdirkan dia terlanggar lopak air lalu hilang kawalan.

Keretanya berpusing lalu melanggar pembahagi jalan. Dadanya terhantuk stereng, nafasnya terhenti untuk seketika, lalu dia pengsan. Segala-galanya berlaku dengan begitu pantas dan dia terjaga dalam keadaan yang lemah, tercungap-cungap, hampir tidak sedar di bilik kecemasan.

Jururawat segera membersihkan saluran udaranya untuk membantu pernafasan dan menyambungkannya kepada radas untuk mendapatkan bacaan.

“Tekanan darah rendah, takikardia (denyut jantung) ringan dan denyutan periferal pada paras yang rendah. PR 102/min, BP 92/54mmHg, stat ECG dilakukan,” kata pegawai perubatan yang bertugas ketika melaporkan status terkini kepada pakar perubatan yang sedang merawat, yang biasanya dipanggil ‘Doc’ oleh rakan sejawat, sambil menyerahkan beberapa data daripada ECG.

Melihat rakaman voltan rendah pada ECG, doktor membuat kesimpulan berdasarkan pemerhatiannya terhadap pesakit di hadapannya. Urat leher bengkak, denyut jantung kurang kedengaran. Tekanan darah rendah. Nampaknya ini satu lagi kes klasik ‘Beck’s triad’.

Bagi mengesahkan diagnosis awal, doktor menjalankan ekokardiogram, menggunakan ultrabunyi untuk memaparkan keadaan jantung pesakit secara visual. Jelas terpapar serta merta bahawa lelehan perikardium telah berlaku, mungkin akibat pendarahan dalaman yang telah memasuki ruang perikardium sekeliling jantung.

Doktor segera memanggil beberapa jururawat untuk membantu mengeluarkan darah bagi melegakan tekanan dengan prosedur ‘perikardiosentesis’ yang berpandukan paparan ultrabunyi.

Tanda-tanda vital pada James bertambah baik dengan serta-merta setelah 30cc darah disedut keluar dari dadanya, yang membolehkan doktor melakukan imbasan CT di bahagian berkenaan dan melakukan satu lagi insisi surgikal untuk menghentikan pendarahan.

Sebaik doktor memikirkan kerjanya pada malam itu selesai, dia dipanggil oleh jururawat untuk satu lagi kes yang baru saja masuk. Pesakit bernama Kamala berusia 48 tahun dimasukkan ke Jabatan Kecemasan selepas sesak nafas dan kelihatan cemas. Jururawat mengesan ketepuan oksigen Kamala adalah rendah, pada tahap kritikal iaitu sebanyak 80 peratus.

Pada tahap ini, fungsi otak dan jantung boleh terjejas, berkemungkinan pernafasan atau denyut jantung akan terhenti. Walaupun diberi tambahan oksigen pada aliran tinggi, pasukan perubatan tidak dapat mencapai ketepuan oksigen pada 90 peratus. Selepas memerhatikan pesakit dan carta pada data, doktor membuat kesimpulan bahawa Kamala terlalu obes, menghidap kencing manis dan tekanan darah tinggi dengan tahap gas darah arteri yang tinggi iaitu pada kadar pH 7.14, bikarbonat 8 dan kalium pada kadar 7.2.

Bercakap dengan pakar perubatan intensif yang sedang bertugas, doktor berkongsi diagnosis awalnya: Diabetes ‘Ketoasidosis’ yang boleh menyebabkan pesakit pengsan.

“Dia menghidap kencing manis dan tidak mendapat insulin yang mencukupi. Kes ini boleh menjadi sangat sukar, jadi kita perlu melakukan ‘intubation’ dan dia berkemungkinan mengalami koma. Tolong saya untuk jalankan ultrabunyi, dia mungkin memerlukan pembedahan kecemasan saluran udara. Mari kita cuba intubasi sedar dulu,” kata doktor.

Pakar perubatan intensif terlebih dulu memberikan Kamala ubat pelali ringan untuk menenangkannya dan dengan segera cuba memasukkan tiub pernafasan ke dalam kerongkongnya, tetapi tidak berjaya.

“Doc, saya tak dapat lihat gambaran pita suara yang jelas. Kita perlu melakukan surgikal terhadap saluran udara itu,” kata jururawat.

Mujur membran krikotiroid dapat dikenal pasti lebih awal lagi dengan bantuan ultrabunyi. Doktor terus membuat insisi kecil untuk memasukkan saluran udara branula dan menyambungkannya kepada insuflator jet, satu alat untuk membantu pernafasan.

Berjaya mengelakkan daripada situasi yang boleh mengancam nyawa, mereka memindahkan Kamala ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan lanjut dan pemerhatian. Doktor meregangkan bahunya dan berehat buat seketika, berasa lega kerana kepintaran klinikal, rawatan yang datang tepat masanya dan alat yang sesuai tersedia untuk menyelamatkan pesakit pada malam itu.

Perubatan kecemasan hari ini

Dengan kemajuan yang pesat dalam dua dekad yang lalu, perubatan kecemasan berkembang maju dari zaman amalan yang asas kepada amalan yang berdasarkan bukti yang sangat canggih terutamanya berkaitan dengan Obstetrik dan Ginekologi yang pada satu ketika dahulu, ultrabunyi menjadi satu alat yang berguna dalam bidang Perubatan Kecemasan dan Penjagaan Kritikal.

FAST (Pentaksiran Berfokus Sonografi untuk Trauma), menggunakan ultrabunyi untuk menilai pesakit trauma secara efektif untuk mengesan pendarahan teruk dan keadaan lain yang boleh mengancam nyawa jika tidak ditangani pada peringkat awal.

Pada masa kini, kebanyakan bilik kecemasan telah dilengkapkan dengan mesin ultrabunyi, sekali lagi membuktikan bahawa ultrabunyi telah menjadi unsur penting dalam menyelamatkan nyawa. Pada mulanya, ultrabunyi digunakan untuk mengesan pengumpulan bendalir intraabdomen, yang dalam konteks trauma dianggap darah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Ultrabunyi kemudian berkembang meliputi paru-paru dan jantung sebagai sebahagian daripada Extended FAST (EFAST) atau FAST Terperluas. Keadaan utama yang mengancam nyawa kini boleh didiagnos dalam tempoh beberapa minit setibanya pesakit di Jabatan Kecemasan.

Dengan pelbagai peralatan perubatan tersedia, pegawai perubatan di hospital, bersama pakar perbuatan yang bertugas, boleh menggunakan pengetahuan dan kepakaran mereka serta-merta dan membuat diagnosis yang muktamad untuk menyelamatkan nyawa, sama seperti apa yang dipaparkan di televisyen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 5:01 AM