Azlan Muhammad Zain

Kuala Terengganu: Pakar pecut acara trek Scott Sunderland (gambar) melakar kejayaan manis selepas membuat keputusan beralih kepada disiplin lebuh raya Disember tahun lalu.

Pemenang Kejohanan Trek Dunia pecut berpasukan dan tiga emas Sukan Komanwel itu menjuarai peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 dari Kuala Berang ke Kuala Terengganu sejauh 124.8 kilometer dengan masa dua jam 54.45 saat.

Ia adalah kejayaan pertama diraih pelumba Isowhey Sports Swisswellness dalam saingan berstatus 2.HC sejak bergelar pelumba lebuh raya.

“Sudah pasti kejayaan ini sesuatu menggembirakan, ia menambah keyakinan saya meneruskan baki perlumbaan.

“Saya lega tidak terbabit dengan kemalangan yang membabitkan sejumlah pelumba pecut ketika saingan berbaki beberapa kilometer. Selepas itu saya berada pada kedudukan terbaik dan meluru ke depan untuk bergelar juara,” jelas pelumba berusia 28 tahun itu.

Tambahnya, terdapat banyak perbezaan apabila berubah kepada lebuh raya dan lebih sukar.

Malah dia yang pernah bersaing dengan Azizulhasni Awang dalam acara trek turut tidak melihat sebarang masalah sekiranya The Pocket Rocketman, yang mempunyai saiz fizikal kecil, turut bersaing di LTdL suatu hari nanti.

Kejayaan Sunderland memenangi peringkat pertama membolehkan dia turut menyarung jersi kuning (kategori individu keseluruhan) dan teal (kategori pecut).

Pelumba akan meneruskan peringkat kedua hari ini serta terpanjang LTdL 2017 dari Jerteh ke Gerik sejauh 208.1km.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2017 @ 7:45 AM