BERAT badan ideal menjadi impian setiap individu.
BERAT badan ideal menjadi impian setiap individu.
Siti Nadirah Hafidzin


Berat badan ideal menjadi dambaan setiap individu terutama bagi memastikan penampilan sentiasa kelihatan cantik dan pada masa sama menjaga kesihatan diri.

Mendapatkan berat badan sesuai mengikut aras ketinggian hakikatnya bukanlah sesuatu yang sukar dicapai. Namun ia sememangnya perlukan keazaman serta disiplin diri terutama bagi individu yang sudah berusia.

Ini kerana semakin anda berusia, semakin payah untuk menurunkan atau mengekalkan berat badan ideal lantaran pelbagai faktor fisiologi.

Pengambilan makanan harian antara perkara paling utama yang bakal menentukan saiz serta berat badan.

Namun, amalan pola pemakanan yang baik serta gaya hidup sihat mampu merealisasikan impian memiliki berat badan ideal.

Ikuti tujuh langkah mudah yang dapat membantu anda mendapatkan berat badan ideal namun perlu diingat, segalanya memerlukan kekuatan disiplin diri.

Mulakan sekarang dan jangan berlengah

Menurunkan berat badan tidak sekadar cukup dengan bermodalkan niat. Anda perlu nekad melakukannya selain memastikan diri mengikut segala perancangan terutama dari segi pemakanan harian anda.

Letakkan sasaran yang masuk akal

Tetapkan sasaran yang mampu dicapai dan bukannya di luar kemampuan diri. Penurunan berat badan setengah kilogram bagi setiap minggu dianggap jumlah yang ideal dan tidak keterlaluan. Malah, anda juga tidak berasa tertekan untuk mencapai sasaran itu.

Keupayaan seseorang individu berbeza antara satu sama lain. Sesetengah orang yang mempunyai perancangan teratur dan tekad yang tinggi mungkin boleh mencapai penurunan yang lebih banyak berbanding setengah kilogram dalam tempoh seminggu.

Jangan letak sasaran terlalu tinggi kerana jika tidak tercapai, anda mungkin akan rasa kecewa. Perasaan inilah yang perlu dielakkan kerana ia boleh menjadi bibit awal putus asa dan akhirnya anda berhenti berusaha.

Tidak perlu terlalu memaksa

Jangan memaksa diri dengan langsung tidak mengambil makanan wajib seharian. Ramai yang mungkin menyarankan supaya anda mengehadkan itu dan ini, tetapi sebaiknya dapatkan ilmu mengenai pemakanan.

Ketahui jumlah kalori yang perlu diambil setiap hari, begitu juga jumlah kalori yang perlu anda bakar supaya ia memudahkan proses penurunan berat badan.

Sekiranya anda langsung tidak mengambil makanan penting, ia sebenarnya tidak dapat membantu anda menurunkan berat badan. Malah ia membuatkan anda berasa terlalu lapar dan seterusnya mengambil jumlah makanan dalam kuantiti yang lebih banyak.

Apabila mengambil makanan lebih daripada had, tentu sekali kalori juga bertambah dan badan menjadi lebih berat.

Cepatkan waktu sarapan

Jangan meninggalkan pengambilan sarapan kerana ia ternyata membantu anda menurunkan kalori dengan lebih cepat. Sekiranya anda meninggalkan sarapan, bimbang anda pula akan terlebih makan menjelang tengah hari kerana terlalu lapar.

Banyak minum air kosong

Kurang minum menyebabkan berlakunya pelbagai masalah kesihatan lain dan mengganggu proses menurunkan berat badan. Anda perlu minum air kosong dengan banyak bagi memudahkan proses penurunan berat badan.

Lakukan senaman walaupun ringkas

Senaman memainkan peranan penting dalam proses menurunkan berat badan. Senaman yang dilakukan secara sistematik menyebabkan proses mengeluarkan peluh dan pembakaran kalori berjalan dengan cepat, sekali gus membantu mendapatkan berat badan ideal.

Amalkan senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu tetapi bukannya 10 minit setiap kali bersenam. Tempoh 10 minit itu mampu membakar beberapa kalori saja. Lakukan senaman sekurang-kurangnya 30 hingga 45 minit sehari, tiga hingga lima kali seminggu. Bagi yang tidak biasa, ia mungkin kelihatan membebankan tetapi percayalah, alah bisa tegal biasa.

Apabila sudah biasa, panjangkan tempoh senaman atau tingkatkan intensiti senaman. Banyak kajian menunjukkan untuk mendapatkan hasil yang cepat, anda perlu selang-selikan senaman intensiti rendah dengan tinggi contohnya berjalan beberapa minit, berlari pantas selama satu minit dan berjalan semula yang diulang berkali-kali.

Lakukan secara konsisten

Setiap apa yang dilakukan, tidak kira dari segi senaman atau pengambilan makanan haruslah dilakukan secara berterusan dan bukan sekali-sekala saja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 11:44 AM