FOTO ihsan LIMA 2017
FOTO ihsan LIMA 2017
Hamzah Osman


Langkawi: Seramai lebih 100,000 rakyat tempatan dan pelancong asing dijangka mengunjungi pulau ini sepanjang Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2017 mulai 21 hingga 25 Mac ini.

Pegawai Daerah Langkawi, Isahak Murat berkata, berdasarkan trend kemasukan pelancong LIMA sebelum ini, 70,000 orang akan bertumpu di tapak pameran aeroangkasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) manakala 30,000 orang lagi di tapak pameran maritim di Tanjung Malai.

Beliau berkata, jumlah itu tidak termasuk kira-kira 2,000 petugas LIMA dan 110,000 penduduk tempatan sedia ada.

"Sebagai persediaan menghadapi peningkatan pelancong domestik, pengusaha feri diminta menambah kekerapan perjalanan feri, selain LTAL wajar beroperasi 24 jam bagi kemudahan delegasi luar negara.

"Kita wajar menyediakan kemudahan itu memandangkan pengunjung LIMA dalam kategori berbeza iaitu bermula dengan petugas, pempamer dan media, diikuti anggota pasukan keselamatan dan pemimpin ternama dari seluruh dunia," katanya ketika ditemui di sini, sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 4:43 PM