Antara pelancong yang terkandas berkumpul di jeti Pulau Tioman untuk menaiki feri hari ini. - Foto Ihsan Pembaca
Antara pelancong yang terkandas berkumpul di jeti Pulau Tioman untuk menaiki feri hari ini. - Foto Ihsan Pembaca
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Rompin: Kira-kira 500 pelancong yang terkandas di Pulau Tioman sejak Ahad lalu, dibawa keluar secara berperingkat bermula 10 pagi, hari ini.

Mereka dibawa keluar dengan empat feri milik Bluewater Express ke jeti Mersing, Johor, manakala sebahagian pelancong lagi dibawa dengan Kapal KD Terengganu milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan dijangka tiba di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan, kira-kira 7 malam ini.

Pengurus operasi Bluewater Express Mohammad Syafiq Farhan berkata, keadaan cuaca yang baik membantu melicinkan proses membawa keluar pelancong berkenaan.

Menurutnya, keadaan terkawal dan pelancong memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang proses berkenaan.

Sebelum ini kita terpaksa menghentikan sementara perkhidmatan feri berikutan keadaan laut yang bergelora, keadaan itu menimbulkan rungutan dan kemarahan segelintir mereka.

"Hari ini semuanya berjalan lancar dan keadaan laut serta ombak juga tidak seteruk semalam," katanya.

Sementara itu, seorang pelancong, Abdul Ifwad Mohamad Ruslee, 27, lega sebaik menjejakkan kaki di jeti berkenaan.

Dia yang sepatutnya pulang Ahad lalu, berdepan kesukaran apabila bekalan makanan anaknya yang berusia tujuh bulan habis sepanjang terkandas di pulau berkenaan.

“Saya lega dan bersyukur selamat sampai di sini (jeti Mersing), perjalanan pulang dengan feri tadi pun berjalan lancar,” katanya yang berterima kasih kepada semua pihak yang membantu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 2:00 PM