JAGUH tinju Filipina senaraikan Amir, Brook dan Horn dalam undian di akaun Twitter.
JAGUH tinju Filipina senaraikan Amir, Brook dan Horn dalam undian di akaun Twitter.
Agensi

Los Angeles: Manny Pacquiao (gambar) menyenaraikan nama Amir Khan dan Kell Brook dalam undian Twitter mengenai kemungkinan lawan berpotensinya dalam mempertahankan kejuaraan dunia di Emiriah Arab Bersatu.

“Jumpa anda di UAE bagi pertarungan saya berikutnya. #TeamPacquiao”, tulis juara welterweight dunia WBO itu, kelihatan cuba menafikan dia mungkin berdepan peninju Australia, Jeff Horn di Brisbane, April ini.

Pacquiao kemudian mengepos undian dalam laman Twitter rasminya meminta 108,000 pengikutnya untuk memilih antara Brook, Amir, Horn atau Terence Crawford sebagai pencabar berikutnya di UAE.

Undian itu menerima lebih 10,000 undi hingga awal pagi semalam.

Jurucakap Pacquiao memberitahu dia akan bertemu pengurusnya Michael Koncz sebelum mengeluarkan kenyataan mengenai pertarungan berikutnya.

Promoter Pacquiao, Bob Arum dilaporkan dalam media antarabangsa bulan lalu menyatakan ikon tinju itu akan kembali ke gelanggang menentang Horn dari Australia yang belum pernah kalah dan menteri pelancongan Queensland menegaskan mereka sedang berunding untuk menjadi hos pertarungan itu.

Namun Pacquiao, 38, mengepos dalam akaun media sosial dia akan bertarung di Timur Tengah dan membayangkan pesaingnya mungkin juga Horn, tetapi tidak menolak kemungkinan berdepan tiga peninju bertaraf dunia, Crawford dari AS atau dua peninju Britain, Amir atau Brook.

Pertarungan antara Brook dan Amir sudah dibincangkan, sekalipun promoter Eddie Hearn menyatakan kedua-duanya gagal bersetuju dengan terma dan ia mungkin tidak akan diadakan hingga hujung tahun ini.

Laporan mengenai pertarungan antara Pacquiao dan Horn disiarkan bulan lalu namun peninju dari Filipina itu menjelaskan tiada sebarang kontrak ditandatangani.

“Kami masih berunding mengenainya. Tiada apa yang muktamad, tarikh, siapa pencabar. Banyak juga tawaran dari negara lain,” ujar Pacquiao bulan lalu.

Pacquiao mengumumkan persaraan sementara tahun lalu namun melakukan kemunculan semula dengan bergaya mengatasi Jessie Vargas di Las Vegas November lalu, menyatakan dia masih berasa seperti orang muda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 10:02 AM