Muhammad Mustakim Ramli


Kangar: Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang melepaskan tembakan rambang menggunakan M16, petang kelmarin, bakal dikenakan tindakan tatatertib termasuk gantung kerja jika didapati bersalah.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Abdul Hamid Mohd Ali berkata, jika dia didapati bersalah, anggota terbabit akan digantung kerja selain tindakan undang-undang lain yang akan dihadapinya.

“Siasatan sedang dijalankan dan laporan akan dihantar kepada kita untuk tindakan selanjutnya.

“Jika didapati bersalah, anggota berpangkat koperal itu bukan saja digantung kerja malah berhadapan dengan tindakan undang-undang atas kesalahan senjata api,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Hamid berkata, bagaimanapun masih terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan hukuman yang bakal dikenakan.

Harian Metro hari ini melaporkan seorang anggota PGA berusia 34 tahun ditahan selepas melepaskan tembakan secara rambang di pos kawalan PGA sempadan Malaysia-Thailand menggunakan M16.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, anggota berkenaan dipercayai berada di bawah pengaruh dadah jenis syabu.

Suspek dikepung dan ditangkap anggota lain selepas kehabisan peluru dan dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 1:30 PM