AIR terjun yang deras dan dingin memberikan kesegaran kepada pengunjung Air Terjun Asahan
AIR terjun yang deras dan dingin memberikan kesegaran kepada pengunjung Air Terjun Asahan
NIKMATI kesegaran dan kehijauan alam semula jadi di Hutan Rekreasi Bukit Batu Lebah
NIKMATI kesegaran dan kehijauan alam semula jadi di Hutan Rekreasi Bukit Batu Lebah
KERIANGAN si kecil bermain air di taman tema air Laman  Tiga  Budaya cukup menyeronokkan.
KERIANGAN si kecil bermain air di taman tema air Laman Tiga Budaya cukup menyeronokkan.
Oleh Suliati Asri

Keunikan dan kepelbagaian budaya serta sejarah di Melaka bagaikan satu bonus buat negeri bertuah itu terutama dalam industri pelancongan.

Selaras dengan moto 'Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia', Kerajaan Negeri Melaka menjalankan pelbagai aktiviti menarik pelancong dari luar dan dalam negara ke destinasi yang dianggap terindah di dunia.

Justeru, tidak hairanlah jumlah kedatang pelancong terutama pelancong asing meningkat iaitu daripada 386,761 pada Ogos 2013 kepada 410,888 pada Ogos 2014, meningkat 24,127 orang.

Jumlah pelancong domestik kepada 902,903 sehingga Ogos lalu berbanding 988,863 sehingga Ogos 2013.

Bagi anda yang mahu lari daripada kesibukan kota dan perlukan ketenangan dengan kehijauan alam semula jadi, Pekan Asahan adalah destinasi yang perlu dikunjungi.

Asahan terletak dalam Majlis Perbandaran Jasin dan pertemuan Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Menjadi tempat pelancongan utama di daerah Jasin dan terkenal dengan Gunung Ledang, antara pusat pelancongan yang harus dikunjungi ialah Hutan Rekreasi Bukit Batu Lebah, Laman Tiga Budaya, Air Terjun Asahan dan Air Panas Bemban, Jasin yang pastinya tidak mengecewakan anda.

Justeru, bagi anda yang merancang bercuti pada hujung minggu sempena tahun baru 2015, Asahan, Jasin, Melaka mungkin destinasi percutian yang mengujakan.

HUTAN REKREASI BUKIT BATU LEBAH

Terletak di daerah Jasin, Hutan rekreasi Bukit Batu Lebah ini adalah lokasi bagi anda yang sukakan alam semula jadi.

Ia terletak dalam Hutan Simpan Bukit Senggeh iaitu jenis hutan dipterokarpa bukit. Bukit Batu Lebah ini mempunyai ketinggian 500 hingga 600 meter dari paras laut.

Hutan rekreasi ini dinamakan Bukit Batu Lebah kerana terdapat banyak Batu Lebah pada batu bata dan gua.

Kawasan ini juga amat bersesuaian dengan pendaki gunung baru.

Untuk aktiviti perkhemahan dan bermalam, sila berhubung dengan Pejabat Hutan Daerah.

Hutan rekreasi ini dibuka dari jam 7 pagi hingga 6 petang dan tiada bayaran masuk dikenakan. Jika anda ingin melakukan aktiviti perkhemahan dan bermalam, anda perlu berhubung dengan Pejabat Hutan Daerah terlebih dahulu.

Dengan hanya 16 kilometer (km) dari pekan Jasin melalui Jalan Jasin-Selandar dan 27 km dari Bandaraya Melaka, Hutan Rekreasi Bukit Batu Lebah ini pasti tidak mengecewakan anda.

Hutan Rekreasi Bukit Batu Lebah kini di bawah penyeliaan Kumpulan Melaka Berhad. Untuk maklumat lanjut, anda boleh menghubungi 06-2327880 atau menghubungi pegawai bertugas, Mejar Segar (019-3597936).

LAMAN TIGA BUDAYA

Laman Tiga Budaya terletak di Asahan dengan jarak 27 km dari bandar Jasin dan 40 km dari bandar Melaka.

Laman yang dikelilingi kehijauan alam semula jadi ini dinamakan Laman Tiga Budaya berikutan lokasinya terletak di titik pertemuan tiga negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor serta menggabungkan budaya tiga negeri berkenaan.

Lokasinya yang berdekatan kawasan hutan simpan dan air terjun Asahan menjadikan ia destinasi bagi pengunjung yang ingin lari daripada kesibukan kota.

Antara aktiviti ditawarkan ialah taman tema air, meredah hutan dan mendaki bukit. Lokasi Laman Tiga Budaya ini juga amat strategik untuk mengadakan aktiviti rekreasi, bina semangat, program jati diri, kursus berasaskan hutan dan air.

Ia boleh dilakukan seisi keluarga bagi mendekatkan diri dengan alam semula jadi.

Bagi pendaki gunung yang berminat untuk mendaki Gunung Ledang, tempahan penginapan dengan kos yang munasabah di Laman Tiga Budaya tersedia untuk anda.

Pengurusan Laman Tiga Budaya juga boleh menguruskan pemandu arah dan penyediaan makanan serta minuman ketika pendakian.

Dibuka dari jam 10 pagi hingga 6 petang kecuali Rabu dan dari jam 9 pagi hingga 8 malam pada hujung minggu, bayaran masuk sebanyak RM5 untuk kanak-kanak dan RM10 untuk dewasa.

Untuk maklumat lanjut, hubungi 010-8908440 (Puan Siti Salmiah Ab Malek).

Bagaimanapun, Laman Tiga Budaya kini ditutup sementara waktu untuk kerja pembaikan kerosakan dan dijangka dibuka semula dalam tempoh terdekat.

AIR TERJUN ASAHAN

Air Terjun Gunung Ledang atau Air Terjun Asahan adalah kawasan rekreasi yang sesuai untuk semua golongan. Kawasan riadah ini dilengkapi pelbagai kemudahan infrastruktur termasuk penginapan.

Antara tarikan utama di sini ialah sungai dan air terjun. Pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti perkhemahan, meredah hutan, mendaki gunung (1276 m), mandi-manda, memerhati burung, seminar dan kem motivasi.

Pengunjung juga boleh melihat pelbagai jenis dan spesies flora dan fauna antaranya orkid hutan dan periuk api hutan yang pastinya cantik dan menarik.

Suasana di sini amat selesa dan mendamaikan dengan kicauan burung serta kesegaran persekitaran membantu menghilangkan tekanan.

Gunung Ledang terletak di antara Negeri Johor dan Melaka. Di Bahagian Melaka ialah Asahan manakala di Johor ialah Sagil. Asahan adalah salah satu kawasan tadahan air untuk Melaka.

Saujana Asahan ialah pusat latihan dan seminar yang dibina pada tahun 2004 di kaki Gunung Ledang.

Lebih kurang 40 km dari Bandar Melaka, Saujana Asahan menawarkan pakej seminar untuk kerajaan, NGO dan korporat serta individu.

Maklumat lanjut boleh menghubungi Penyelia Saujana Asahan, Jalan Kolam Air, 77100 Asahan Melaka. Tel: 065235048, Faks: 065235086.

AIR PANAS BEMBAN, JASIN

Taman Rekreasi Air Panas Jasin atau Jasin Hot Springs Recreational Park terletak di Kampung Ayer Panas.

Kolam ini berusia lebih 125 tahun dan menyediakan pelbagai saiz dengan suhu air antara 30 hingga 43 darjah Celsius untuk keselesaan orang ramai.

Kolam ini menyediakan air mineral semula jadi iaitu air mineral suam tinggi sulfur putih beralkali atau alkaline white-sulphur warm springs yang dikatakan membantu mencantikkan kulit, menyembuhkan penyakit kulit dan menghilangkan tekanan.

Kolam air panas ini dibahagikan kepada tiga zon iaitu zon merah (43 darjah Celsius), Zon Oren (38 hingga 42 darjah Celsius) dan Zon Biru (38 darjah Celsius ke bawah).

Bayaran tiket adalah pada kadar dewasa, RM6 untuk kunjungan pertama dan RM5 untuk kunjungan kedua. Kanak-kanak, RM3 dan RM2 untuk kunjungan kedua.

Waktu beroperasi pada Isnin dari jam 3 petang hingga 12 tengah malam manakala Selasa hingga Khamis dari jam 9 pagi hingga 12 tengah malam. Jumaat dan Sabtu pula dari jam 9 hingga 2 pagi. Telefon: 06-5210369

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 5:03 AM