RUBY Rose cemerlang lakonkan watak Ares.
RUBY Rose cemerlang lakonkan watak Ares.
HIDUP John Wick terus dimanipulasi ramai pihak.
HIDUP John Wick terus dimanipulasi ramai pihak.
Georgie Joseph


Selepas kejayaan John Wick pada 2014, ramai menantikan sekuel keduanya iaitu John Wick: Chapter 2 yang mula ditayangkan Khamis lalu.

Filem mengenai kisah hidup seorang pembunuh upahan lakonan Keanu Reeves ini tidak dinafikan memiliki pendekatan istimewa.

Konsepnya yang begitu realistik meyakinkan penonton untuk terus mengetahui kesinambungan ceritanya.

Persoalan utamanya, adakah sekuel kedua itu akan sebagus filem pertamanya? Bukan saja dahagakan aksi hebat John Wick menumpaskan penjahat, malah penonton semestinya ingin melihat sisi lain kehidupannya.

Sejujurnya, sekuel kedua ini tidak banyak beza de­ngan yang pertama, namun dari sudut positif aksi lebih menjadi-jadi dan John membuktikan keganasannya boleh bertukar menjadi luar biasa.

Jika sebelum ini dia didorong kemarahan yang melampau akibat kematian anjingnya dan kereta dicuri, namun keupayaannya kali ini nyata lebih hebat.

Pujian perlu diberikan kepada pengarahnya, Chad Stahelski yang menampilkan lebih banyak babak pertarungan.

Rata-rata penonton berpuas hati dengan elemen terbabit di mana keupayaan John lebih terserlah.

Bagaimanapun, kelebihan itu juga sebenarnya boleh menjadi kelemahan filem berkenaan. Jika diteliti, hampir 70 peratus menampilkan aksi pertarungan, sekali gus me­ngehadkan permainan skrip.

Bagi yang tidak menonton sekuel pertama, kemungkinan besar akan sedikit keliru kerana tidak memahami siapa John yang sebenarnya.

Apatah lagi, permulaan ceritanya sudah dipenuhi dengan babak pertarungan.

Penceritaannya menjadi terlalu pantas untuk difahami tanpa sempat memahami apa sebenarnya motif pembunuh upahan itu.

Secara keseluruhannya, ia menceritakan bagaimana John mahu bersara sepenuhnya daripada melakukan kerja itu. Lebih-lebih lagi apabila dia masih bersedih dengan kematian isteri dan anjingnya.

Namun, ada saja pihak yang masih mahu mempergunakannya demi kepentingan mereka.

Dalam filem ini, seorang hartawan berpengaruh, Santino D’Antonio lakonan Riccardo Scamarcio cuba memanipulasikan John.

Pada mulanya, John menolak permintaan itu hingga Santino terpaksa bertindak di luar batasan dengan memusnah­kan rumahnya.

Selepas berfikir panjang, dia mengubah fikirannya kerana hanya itu saja cara untuk dia membuang gelaran sebagai pembunuh upahan.

Bagaimanapun, tanggapannya jauh tersasar apabila Santino mempunyai agenda tersendiri dengan menyuruh John membunuh kakaknya.

Hartawan itu bukan sekadar mahu merampas kedudukan kakaknya, malah cuba menjerat John supaya dia pun turut dibunuh.

Akhirnya keadaan menjadi lebih buruk buat John kerana semakin dia ingin berubah dan meninggalkan kegiatan itu, semakin jauh dirinya tersasar.

Ruby Rose tarik perhatian

Apa yang menarik dalam sekuel ini ialah penampilan beberapa pelakon yang cukup dominan dan pasti diingati.

Antaranya aktres paling menjadi sebutan sekarang iaitu Ruby Rose.

Kemunculannya bukanlah banyak, tetapi cukup untuk membuatkan penonton geram dan mengingatinya sebagai watak Ares.

Ares adalah orang suruhan Santino yang cukup bersungguh-sungguh mahu menumpaskan John.

Bagaimanapun, ia agak mengecewakan kerana watak Ares sepatutnya boleh dibesarkan lagi. Berdasarkan wataknya, Ares sepatutnya memiliki keupayaan berlawan yang lebih hebat tetapi nampaknya tidak.

Apabila John dengan begitu mudah menumpaskannya, babak itu sedikit ‘membunuh’ keterujaan penonton.

Secara keseluruhannya, John Wick: Chapter 2 cukup memuaskan terutama jika menyentuh elemen aksi yang sememangnya menggambarkan watak itu sendiri.

Seperti biasa, pengakhirannya tetap mencetuskan teka-teki untuk mengetahui apa lagi bakal berlaku pada John Wick.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 5:26 AM