Suspek yang juga anggota PGA berpangkat Koperal dibawa keluar dari mahkamah sambil diiringi oleh dua anggota polis selepas menerima perintah reman. Turut mengiringi suspek adalah peguam pemerhati, Zuhair Ahmad Zakuan (kanan sekali). FOTO Aizat Sharif
Suspek yang juga anggota PGA berpangkat Koperal dibawa keluar dari mahkamah sambil diiringi oleh dua anggota polis selepas menerima perintah reman. Turut mengiringi suspek adalah peguam pemerhati, Zuhair Ahmad Zakuan (kanan sekali). FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif


Kangar: Suspek kes melepaskan tembakan rambang di pos kawalan keselamatan Pasukan Gerakan Am (PGA) berhampiran pagar sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, semalam, direman sehingga 15 Februari ini.

Suspek berusia 35 tahun berasal dari Mambang Di Awan, Perak tiba di Mahkamah Kangar dengan van polis jam 12 tengah hari tadi.

Suspek dikawal dua anggota polis sambil diiringi peguam pemerhati, Zuhair Ahmad Zakuan. Dia kemudian dibawa masuk ke Pejabat Pendaftar Mahkamah sebelum dihadapkan ke Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kangar, Nurul Hafzan Ab Aziz.

Tempoh reman empat hari diberikan membolehkan polis meneruskan siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah selepas ditukarkan daripada Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Pada jam 5.30 petang semalam, suspek didakwa melepaskan tembakan rambang menggunakan M16 di empat lokasi berhampiran pagar sempadan Malaysia-Thailand sehingga menyebabkan kerosakan kepada kemudahan di pos kawalan berkenaan.

Suspek turut didakwa mengacukan senjata dan melepaskan beberapa das tembakan rambang ke arah dua pemancing di sebuah kolam berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2017 @ 2:04 PM