MEREDAH sungai antara cabaran untuk ke Bukit Kutu.
MEREDAH sungai antara cabaran untuk ke Bukit Kutu.
MEREDAH akar pokok dan laluan curam sepanjang pendakian ke Bukit Kutu.
MEREDAH akar pokok dan laluan curam sepanjang pendakian ke Bukit Kutu.
SEBAHAGIAN peserta wanita bersiap sedia untuk memulakan aktiviti kecergasan kebombaan.
SEBAHAGIAN peserta wanita bersiap sedia untuk memulakan aktiviti kecergasan kebombaan.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Petugas media serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sememangnya saling memerlukan antara satu sama lain biarpun berlainan agensi mahupun peranan.

Ini kerana kerjasama antara mereka membolehkan sesuatu maklumat itu disebarkan kepada masyarakat dalam bentuk berita yang tepat.

Hubungan antara dua agensi yang terjalin sejak sekian lama itu kini semakin kukuh apabila ia ‘dieratkan’ melalui penganjuran pelbagai aktiviti termasuk penganjuran kursus secara bersama.

Kemuncaknya apabila penganjuran Kursus Motivasi dan Kerja Berkumpulan Bomba Bersama Media di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kuala Kubu Bharu, Selangor, pada 13 Januari hingga 15 Januari lalu berjaya menarik 47 penyertaan.

Kursus dianjurkan selama tiga hari dua malam itu mengumpulkan pelbagai agensi media, pegawai dan anggota bomba dari seluruh negara selain petugas Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu Saadon Moktar berkata, penganjuran kursus itu bukan saja bertujuan mengeratkan hubungan antara dua pihak malah membina kerjasama, daya tahan fizikal dan mental serta membentuk disiplin peserta yang boleh diterjemahkan dalam bidang kerjaya mereka.

“Pelbagai aktiviti dan program kita atur untuk semua peserta, dari aktiviti menguji kecergasan fizikal hinggalah kecergasan mental.

“Apa yang saya lihat mereka yang menyertai kursus ini mudah mesra antara satu sama lain biarpun baru berkenalan, perkara ini adalah sesuatu yang sihat,” katanya.

Kursus anjuran bersama Kelab Media Pahang itu turut dihadiri Ketua Pengarah JBPM Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim yang meluangkan masa bersama peserta kursus selain menyampaikan sijil penyertaan kepada mereka yang terbabit.

Ujian getir bagi semua 47 peserta kursus bermula keesokannya iaitu pada Sabtu apabila semua mereka bangun seawal 6 pagi sebelum untuk berada di kawasan padang akademi melakukan latihan kecergasan.

Saadon berlata, selain ujian kecergasan, peserta dibahagikan secara berkumpulan untuk melakukan kerja dan aktiviti bersama di dalam bilik seminar selain ujian berkumpulan di lapangan.

Katanya, sikap toleransi dan kerjasama sangat diperlukan apabila melakukan kerja berkumpulan tambahan mereka turut diuji di kawasan panas bagi menentukan tahap kesabaran masing-masing.

Pada hari kedua iaitu kemuncak kursus adalah pendakian ke Bukit Kutu, terletak kira-kira 12 kilometer dari kawasan akademi yang dimulakan seawal jam 7 pagi.

Pendakian bermula jam 8 pagi itu turut disertai Pengarah JBPM Pahang Datuk Abdul Wahab Mat Yasin dan Presiden Kelab Media Pahang Datuk Nik Naizi Husin.

Laluan ke Bukit Kutu yang mengambil masa empat jam begitu mencabar kerana ia begitu menguji fizikal setanding laluan pendakian gunung lain di negara ini.

Bukit Kutu berketinggian 1,053 meter menawarkan pemandangan dan panorama indah sepanjang pendakian termasuk tinggalan bangunan banglo lama yang dibina pada zaman British, selain pemandangan empangan Kuala Kubu Bharu sebaik tiba di puncak.

Ternyata ujian dan latihan fizikal diberikan sepanjang kursus itu berguna bagi mereka apabila sebahagian besar peserta turut menjadikan latihan serta pendakian Bukit Kutu itu sebagai batu loncatan untuk mereka mendaki ‘Annapurna Base Camp’, Nepal April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 12:44 PM