ANTARA dadah yang dirampas.
ANTARA dadah yang dirampas.
Oleh Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur berjaya menumpaskan sindiket dadah dengan tertangkapnya dua suspek dengan nilai rampasan bernilai RM75,000 di Bukit Damansara dan Kampung Pasir Baru pada 10 dan 14 Oktober lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hong Soon berkata, seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan di tempat letak kereta di sebuah bangunan di Bukit Damansara, jam 8.45 malam Jumaat lalu.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui pelbagai jenis dadah termasuk 100 biji eramin 5, satu peket ketamin, satu peket syabu dan satu peket ganja diletakkan di dalam begnya.

"Susulan tangkapan itu, suspek membawa polis ke sebuah loker di pejabatnya sebelum menemui 750 biji eramin 5 dan sepucuk pistol angin jenama Glock 26 Austria," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam tangkapan kedua semalam, seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan ketika dia keluar dari kenderaannya di Kampung Pasir Sri Petaling.

"Polis kemudiannya merampas dua bungkusan plastik besar yang mengandungi 20 ketulan mampat dedaun kering dadah jenis ganja dengan berat lebih 19 kilogram bernilai RM50,000.

"Hasil soal siasat, suspek menyatakan dia mendapat bekalan dadah terbabit daripada seorang lelaki dipercayai dari Acheh, Indonesia dan aktif mengedar ganja lebih enam bulan lalu di sekitar Lembah Klang.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan 36(1) Akta Senjata 1960 bagi siasatan terhadap suspek yang memiliki senjata api secara haram," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 4:24 PM