MERENTASI Sungai Ulu Kuantan menguji keberanian.
MERENTASI Sungai Ulu Kuantan menguji keberanian.
LALUAN turun yang mencabar dek batuan yang licin.
LALUAN turun yang mencabar dek batuan yang licin.
RIDZAL (kiri) menjerang air panas untuk menyediakan minuman dan makanan.
RIDZAL (kiri) menjerang air panas untuk menyediakan minuman dan makanan.
AIR terjun pelangi punya keunikan tersendiri.
AIR terjun pelangi punya keunikan tersendiri.
SUASANA di air Terjun Pelangi yang mengujakan.
SUASANA di air Terjun Pelangi yang mengujakan.
MERENTASI anak sungai dengan batuan yang licin punya cabaran yang tersendiri.
MERENTASI anak sungai dengan batuan yang licin punya cabaran yang tersendiri.
PEMANDANGAN menghijau selepas hujan di Hutan Simpan Kekal Remen Cerih.
PEMANDANGAN menghijau selepas hujan di Hutan Simpan Kekal Remen Cerih.
PENGUNJUNG perlu membayar permit sebelum memasuki hutan simpan kekal.
PENGUNJUNG perlu membayar permit sebelum memasuki hutan simpan kekal.
Suliati Asri


Pagi itu, hujan renyai yang membasahi bumi bagaikan membawa perkhabaran duka buat kami. Walaupun pasrah dengan kemungkinan pembatalan ekspedisi ke Air Terjun Pelangi di Sungai Tembeling, Pahang, baru-baru ini, jauh di lubuk hati, harapan tetap setinggi gunung.

“Kita akan teruskan ekspedisi pagi ini, tetapi saya tidak janji kamu dapat melihat pelangi.”

Bait-bait kata yang ringkas diungkapkan Muhammad Ridzal Sukimi, 41, selaku pemandu pelancong alam semula jadi pagi itu nyata mampu membuatkan kami, peserta Lawatan Media Sempena Majlis Pengisytiharan Tahun Melawat Pahang 2017 dan wakil Tourism Malaysia Pahang mengukir senyuman.

Air Terjun Pelangi adalah tarikan pelancongan utama yang menanti di Sungai Lembing. Mengambil masa satu jam 45 minit dari Pekan Sungai Lembing, perjalanan ke air terjun itu yang istimewa itu memberikan sedikit cabaran buat si pengunjung. Maklum saja, mahukan sesuatu yang indah, perlu ada usaha.

Cabaran laluan 4 x 4 disulami kehijauan hutan nan indah

Keheningan pagi yang mengiringi perjalanan kami, menaiki kenderaan pacuan empat roda (4 X 4) selama sejam memberi cabaran tersendiri.

Hujan gerimis yang turun sekali sekala membuatkan hati gunda dek takut tidak lepas untuk sampai ke destinasi.

Permukaan jalan yang berbatu, tidak rata dan licin kerana laluan yang becak bukan saja membuatkan kami yang duduk di bahagian belakang perlu berpegang kuat, pemandu juga perlu cekap dalam mengendalikan kenderaan.

Perjalanan menaiki pacuan empat roda ini juga membawa kami merentas tiga anak sungai iaitu Sungai Jin, Sungai Hillview dan Sungai Bunga atau lebih dikenali sebagai Sungai Cuci Kaki kerana dulunya, banyak 4 X 4 tidak mampu melepasi bukit yang licin dan hanya mandi serta cuci kaki di anak sungai itu, nyata membuatkan badan terhuyung-hayang.

Namun, pemandangan nan hijau dengan kabus yang menutupi segenap Hutan Simpan Kekal Remen Cerih pagi itu cukup menyamankan.

Kedamaian dan udara segar yang di hirup pagi itu memberikan kesegaran.

Air Terjun Pelangi ini terletak di dalam Hutan Simpan Kekal Remen Cerih dan untuk memasuki hutan simpan kekal ini, pengunjung perlu membayar permit terlebih dulu.

Rentas sungai paras dada dan laluan berbatu licin uji kekuatan fizikal

Melepasi perjalanan 18 kilometer (km), kami akhirnya sampai di ‘check point’ kedua iaitu Sungai Kuantan.

Sebagai langkah keselamatan, kami sekali lagi perlu mendengar taklimat bagi memastikan perjalanan kira-kira 1.2km iaitu lebih kurang 45 minit berjalan meredah hutan dan laluan berbatu lancar.

“Kita akan merentasi Sungai Ulu Kuantan dan hari ini air agak deras dan tinggi paras pinggang saya disebabkan musim hujan. Jadi, jangan turun ke sungai ini tanpa pemantauan.

“Di hujung sana, ada satu lubuk iaitu Lubuk Beruk dan kedalamannya kira-kira lapan meter,” kata Ridzal memberi amaran.

Usai menyimpan segala barangan terutama kamera dan telefon pintar di dalam beg kalis air, kami beratur di tebing menunggu giliran untuk merentas sungai.

Air yang deras dan sejuk serta tinggi hingga ke paras dada sememangnya menguji keberanian. Namun, kerana matlamat yang satu, kekuatan dikumpul untuk sampai ke destinasi.

Selesai mengharungi cabaran kedua, kami melalui jalan yang becak dan berliku di lereng sungai dengan santai dan gembira.

Papan tanda yang memaparkan jarak untuk sampai ke air terjun membuatkan kami teruja. Deruan air terjun yang kuat juga sudah mula didengari.

Seratus meter sebelum sampai, Air Terjun Pelangi sudah kelihatan. Sungguh indah. Selesai mengambil gambar, kami memulakan pendakian di batuan sungai yang licin.

Dengan batuan yang licin dan berlumut, kami perlu berhati-hati dan saling bantu membantu untuk melepasi halangan terakhir sebelum sampai ke Air Terjun Pelangi yang sungguh menakjubkan itu.

Air Terjun Pelangi

Melepasi laluan berbatu yang licin dengan air mengalir deras, air terjun di hadapan mata itu menghilangkan segala keletihan.

Dengan ketinggian 150 meter, air yang ‘terjun’ itu persis hujan kerana terdapat lengkungan 30 meter dari puncak. Jadi, baki 120 meter air yang jatuh itu bagaikan semburan lembut dan dingin.

Air Terjun Pelangi ini dibuka kepada kunjungan awam sejak tahun 2005. Air terjun ini cukup unik kerana airnya yang jatuh persis hujan yang halus dan menariknya, pengunjung boleh melihat pelangi di celahan air terjun yang terbentuk percikan air dan pancaran matahari pagi.

Bukan itu saja, kedudukannya di dalam hutan simpan kekal yang lembap menjadikan batu-batuan pada dinding air terjun itu berlumut hijau menjadikan pemandangan di sekitar air terjun itu cukup mempesona.

Seperti dikatakan Ridzal, kami sememangnya tidak berpeluang untuk melihat pelangi kerana ketika itu matahari sudah tidak kelihatan dek cuaca mendung.

Namun mandi, berendam dan mengambil gambar adalah detik yang tidak boleh dilepaskan.

Pelangi muncul ‘anugerah’ terindah

Sedang asyik mengambil gambar dan mandi-manda, Ridzal memberi isyarat bahawa kami hanya ada 10 minit untuk menikmati kedinginan air terjun sebelum mengisi perut dan kemudian bergerak balik dek keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

Berada di sekitar air terjun, hujan rintik-rintik nyata tidak dirasai kerana percikan air terjun itu persis air hujan. Namun, keadaan awan yang sudah hitam di beberapa lokasi menunjukkan hujan sudah turun dan sangat bahaya berada di sekitar air terjun saat hujan, takut ‘kepala air.’

Dalam keadaan basah kuyup dan sejuk, hidangan mi Maggi cawan dan Milo panas sememangnya menghangatkan.

Walaupun tidak berpeluang melihat pelangi yang terjadi daripada percikan air terjun, merasai kedinginan air yang sejuk itu sudah cukup buat kami.

Kami juga adalah rombongan yang dikatakan bertuah kerana air deras dan banyak.

Saat mulai berkemas, cuaca yang tadinya mendung kembali cerah dan pastinya kami berharap untuk melihat sang pelangi yang indah itu.

Alhamdulilah. Pelangi yang dinanti-nantikan akhirnya muncul juga di dalam takungan air terjun. Kami sememangnya cukup teruja dan beruntung kerana ketika itu, matahari sudah tinggi dan agak sukar untuk melihat pelangi.

Pengalaman yang tidak dapat dilupakan

Selesai mengambil gambar, kami meneruskan perjalanan turun mengikuti laluan yang sama ketika naik. Namun ketika ini, kami perlu lebih berhati-hati kerana batu-batuan sungai licin dek hujan sebentar tadi.

Kami juga perlu mempercepatkan langkah kerana hujan mulai turun dan dikhuatiri air Sungai Ulu Kuantan yang tadinya separas dada semakin naik sekali gus tidak boleh direntasi oleh kami.

Jumlah masa kira-kira tiga jam untuk sampai dan merasai sendiri kedinginan Air Terjun Pelangi nyata berbaloi. Pengalaman melihat sendiri keindahan air terjun dan pelangi di dalam takungan air sememangnya sesuatu yang berharga.

Segala kesukaran dan cabaran untuk sampai ke Air Terjun pelangi itu adalah anugerah terindah yang tidak dapat dilupakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 11:51 AM