ANGGOTA bomba menggunakan tali untuk menyelamatkan semua mangsa yang terperangkap di seberang Sungai Gedong, Kampung Senta. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba menggunakan tali untuk menyelamatkan semua mangsa yang terperangkap di seberang Sungai Gedong, Kampung Senta. FOTO ihsan Bomba
Farah Suhaidah Othman


Bidor : Lima lelaki sedang memancing terperangkap lebih satu jam berikutan hujan lebat di seberang Sungai Gedong, Kampung Senta, Bidor sebelum diselamatkan pasukan keselamatan, hari ini.

Dalam insiden kira-kira 6 petang itu, lelaki berusia antara 24 hingga 28 tahun itu terperangkap berikutan air naik mendadak dan arus deras selepas hujan lebat sejak 4 petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor, Mohd Nadzir Abdul Razak berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 6.50 petang sebelum mengerahkan dua pegawai dan lapan anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi yang turut dibantu tiga anggota polis itu mengambil masa hampir dua jam untuk menyelamatkan mangsa di sungai selebar lima meter dan berkedalaman 1.5 meter itu.

"Akibat hujan lebat petang tadi, air sungai naik mendadak dan arus deras mengakibatkan kelima-lima mangsa terperangkap di seberang sungai berkenaan.

"Anggota bomba kemudiannya bertindak menggunakan tali untuk operasi menyelamat mangsa.

"Semua mangsa berjaya diselamatkan dan operasi menyelamat tamat pada 7.40 malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 10:16 PM