FOTO Muhammad Sufian Rosli
FOTO Muhammad Sufian Rosli
Muhammad Sufian Rosli


Kota Bharu: Perbezaan tidak menghalang usahawan berketurunan Cina meraikan Tahun Baru Cina bersama anak yatim dan tahfiz.

Itu yang dilakukan Datuk Seri Sunny Ung yang berkata, sambutan kali ini, beliau mengambil insiatif membantu anak yatim serta pusat tahfiz yang memerlukan.

"Saya terpanggil untuk membantu tidak hanya kepada masyarakat Cina, malah masyarakat Melayu terutama mereka yang daif, anak-anak yatim serta tahfiz.

"Sudah lebih lapan tahun saya menjadikan pelajar di Pusat Tahfiz al-Quran Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan (Peka Yatim) sebagai sebahagian daripada 270 anak angkat saya," katanya ketika di temui di Taman Desa Rahmat, Jalan Bayam, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Sunny menyampaikan lima mesin basuh dan al-Quran yang musnah akibat dilanda banjir.

Sementara itu, Pengetua Peka Yatim Sahbudin Mohamad, 38, berkata, pihaknya menghargai dan terharu dengan sumbangan berkenaan walaupun mereka berbeza agama.

"Beliau selalu membantu kami terutama dari segi keperluan asas dan sentiasa memastikan anak-anak yatim di sini dapat belajar dan menghafal al-Quran dengan selesa.

"Kami juga terbuka untuk menerima bantuan daripada mana-mana pihak tanpa mengira fahaman serta bangsa kerana apa yang penting, nasib anak-anak yatim di sini terbela," katanya.

Datuk Seri Sunny Ung (baju hijau)

menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dan tahfiz di Pusat Tahfiz al-Quran Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan (Peka Yatim) Jalan Bayam, di sini, hari ini.

Tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2017 @ 10:37 AM