Faliq Lajim


Klang: Seorang ketua jabatan di Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan dihadapkan ke Lembaga Tatatertib MPK berhubung kes letupan bunga api di Fiesta GEGAR Klang sempena sambutan tahun baru 31 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah berkata, pegawai terbabit boleh dikenakan tindakan berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan dan Tatatertib) 1995.

"Hasil Jawatankuasa Penyiasatan mendapati seorang ketua jabatan bertanggungjawab menguruskan pertunjukan bunga api itu walaupun tidak diputuskan dalam mana-mana mesyuarat di peringkat MPK.

“Pegawai berkenaan boleh diberikan amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat ataupun dibuang kerja," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Menurutnya, kerajaan negeri memandang serius kejadian yang berlaku itu sehingga menyebabkan kemalangan kepada orang awam akibat daripada kecuaian penjawat awam.

Beliau berkata, kerajaan negeri berharap semua pelaksanaan program dan aktiviti di peringkat negeri, daerah dan pihak berkuasa tempatan perlu mengambil kira kepentingan dan keselamatan orang awam dalam semua aspek.

Dalam kejadian itu, 14 pengunjung termasuk kanak-kanak cedera apabila bunga api meletup di tanah dan terpercik ke arah penonton ketika sambutan tahun baru di Kompleks Sukan Pandamaran, dekat sini.

Bagaimanapun mereka hanya dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) selepas kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 3:45 PM